Pencerobohan Blue Lagoon yang terletak di Hutan Simpan Ayer Hitam, Puchong, Selangor mengundang kemarahan dalam kalangan pelajar Universiti Putra Malaysia yang melakukan penyelidikan.

KUALA LUMPUR – Kolam biru atau Blue lagoon di Hutan Simpan Ayer Hitam, Taman Wawasan Puchong adalah dimiliki Universiti Putra Malaysia (UPM) dan merupakan Hutan Simpanan Kekal (HSK) yang digunakan sebagai penyelidikan.

Pemelihara hutan tersebut, Mohd Farhan Shahrin menegaskan, kawasan tersebut tidak dibuka sebagai lokasi rekreasi kepada orang awam.

Beliau meluahkan rasa kesal terhadap segelintir orang awam yang tidak mematuhi peraturan dan menceroboh kawasan tersebut sehingga merosakkan plot kawasan kajian pelajar dan penyelidik termasuklah merosakkan papan tanda larangan masuk.

“Apabila berlaku aktiviti rekreasi tanpa kawalan seperti membuang sampah dan meninggalkan sisa kotoran menyebabkan air di sini tercemar dan paling teruk adalah kencing tikus.

“Sebab itu kita sangat menjaga kualiti di sini dan aktiviti kita sentiasa berpandu. Tanda-tanda yang ditinggalkan apabila mereka melakukan larian malam dengan meletakkan penanda mencacatkan pokok di sini.

“Malah kami terpaksa di masuk ke sini semata-mata untuk mengutip sampah sahaja yang ditinggalkan, selain risiko berlaku kepala air kerana jumlah hujan yang tinggi serta laluan jalan telah runtuh dan tidak selamat untuk orang lalu lalang,” katanya pada satu video di Facebook UPM di sini.

Ketika ini, tular di media sosial apabila semakin ramai pengunjung yang datang ke Blue Lagoon walaupun ia merupakan kawasan larangan dan memuatnaik di akaun media sosial masing-masing.

Mereka didakwa menceroboh dalam kawasan yang terletak di Hutan Simpan Ayer Hitam, Puchong, Selangor yang mengundang kemarahan dalam kalangan pelajar Universiti Putra Malaysia (UPM).

Ia selepas salah seorang pelajar universiti berkenaan memuatnaik tangkapan skrin komen balas di akaun TikTok pendaki berkenaan.

Hutan Simpan itu dikenali sebagai Sultan Idris Shah Forestry Education Center (SISFEC) merupakan Hutan Simpanan Kekal yang diwartakan pada 1906.

Ia diamanah kepada UPM selama 99 tahun sejak 1996 sehingga 2095 serta ia juga di bawah tanggungjawab UPM bagi mengendalikan aktiviti berkaitan pendidikan, penyelidikan, dan pengembangan.

Bukan itu sahaja, kolam Blue Lagoon antara kawasan larangan dan memerlukan permit atau permohonan dengan alasan kukuh untuk memasuki lokasi itu.

Penceroboh boleh dikenakan denda sehingga RM10,000. – MalaysiaGazette