Anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) memadamkan kebakaran di beberapa unit rumah pangsapuri di Flat Sri Sabah, Cheras. Foto MOHD ADZLAN, 11 FEBRUARI 2024.

KUALA LUMPUR – Kegembiraan seorang jurujual eksekutif menyambut Tahun Baharu Cina 2024 bertukar duka apabila rumahnya di Blok 70,  Perumahan Awam Sri Sabah 3B, Cheras, yang didiami sejak lahir itu hangus sepenuhnya dalam kebakaran  malam tadi.

Lebih menyedihkan apabila usaha Loo Choon Ming, 39, bersama seorang lagi jirannya untuk memadamkan api yang dipercayai bermula dari rumah jirannya gagal apabila pili bomba yang terletak di tingkat tersebut didakwa tidak berfungsi

Bercakap kepada pemberita ketika ditemui di lokasi, Choon Ming berkata, ketika kejadian, dia bersama ibunya seorang warga emas berusia 62 tahun sedang menonton televisyen.

“Tiba-tiba saya nampak sedikit kepulan asap keluar dari rumah sebelah, tetapi kepulan asap itu makin tebal dan kuat menyebabkan saya bergegas ke luar untuk melihat apa yang berlaku.

Loo Choon Ming, 39 mangsa kebakaran di sebuah unit rumah pangsapuri di tingkat 17, Blok 70 Flat Sri Sabah, Cheras. Foto SYADILA AMARI, 11 FEBRUARI 2024.

“Ketika itulah saya melihat api yang membara begitu kuat dan saya pergi ke rumah jiran sebelah untuk membantu memadamkan api.

“Kami telah cuba memadam kebakaran itu selama 20 minit dengan menjirus air, namun ia menjadi sia-sia dan kami menjadi penat sebelum segera menghubungi bomba  melaporkan kebakaran itu,” keluhnya.

Tambah Choon Ming lagi, selepas melihat api semakin marak ke rumah sebelah mereka segera lari menyelamatkan diri dengan turun menaiki tangga sehingga tingkat 15 sebelum menaiki lif bergegas ke tingkat bawah.

Menurutnya, dia sangat kesal dan kecewa kerana kemudahan pili bomba yang terletak di tingkat 17 bagi tujuan pemadaman api tidak berfungsi menyebabkan kami (bersama jiran) tidak dapat bertindak pantas memadamkan kebakaran itu.

“Tiada apa yang tinggal dalam insiden itu, segala harta benda di dalam rumah musnah sepenuhnya dan saya kini tinggal sehelai sepinggang.

“Tiada apa barang yang dapat diselamatkan, semuanya musnah. Nasib baik, saya dan ibu tidak mengalami sebarang kecederaan,” tegasnya.

Dalam kejadian itu, bomba mengesahkan lima rumah musnah sepenuhnya manakala satu rumah di hujung sebelah tangga tingkat 17 terselamat dalam kebakaran yang berlaku sekitar jam 9 itu. – MalaysiaGazette