KUALA LUMPUR – Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli didakwa seperti tidak berada dalam realiti apabila membuat kenyataan bahawa kerajaan sebaik mungkin hanya ingin mencukai kumpulan yang paling kecil menerusi Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) berbanding melaksanakan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) yang menyebabkan kesemua 30 juta rakyat Malaysia perlu membayar cukai.
MCA menyifatkan kenyataan Rafizi agak pelik kerana SST akan melibatkan 500,000 syarikat dan jika disasarkan kepada kumpulan sasaran yang kecil, jumlah kutipan cukai akan lebih rendah berbanding GST.
Naib Presiden MCA, Datuk Dr Lawrence Low berkata, kenyataan Rafizi itu jelas hanya retorik politik tanpa melihat kesan yang akan menimpa pada kemudian hari.
Katanya, pelaksaan SST melibatkan pelbagai jenis barangan dan perkhidmatan, secara tidak langsung akan memberi kesan kepada rakyat Malaysia terutama kepada mereka yang mempunyai pendapatan isi rumah yang rendah iaitu B40 dan M40.
Walaupun asas cukai GST adalah lebih luas, namun terdapat mekanisme seperti rebat cukai manakala kadar cukai juga boleh diselaraskan.
Selain itu, GST ke atas barangan keperluan ditetapkan pada kadar 0%, dan ia memainkan peranan pengawalseliaan terhadap kesan ke atas mata pencarian rakyat.
Kata Low, GST mula dilaksanakan pada 2015, namun apabila pucuk pimpinan kerajaan bertukar tangan pada tahun 2018, Kerajaan Pakatan Harapan (PH) ketika itu memansuhkannya dan menggantikannya dengan SST.
Sejak itu hasil cukai negara merundum dengan ketara, manakala rizab kerajaan juga berkurangan.
Tegasnya, walaupun Kerajaan Perpaduan berkali-kali memperlekehkan GST untuk cuba menampakkan SST lebih relevan, namun gagal kerana sejak SST diperkenalkan semula, hasil cukai negara merundum dengan ketara, manakala rizab kerajaan juga berkurangan.
“Kesan yang lebih ketara, selepas pelaksanaan SST, harga barangan bukan semakin menurun, malah meningkat secara berterusan. Bahkan, kerajaan bercadang untuk menaikkan kadar cukai perkhidmatan kepada 8.0 peratus berbanding 6.0 peratus berkuatkuasa 1 Mac ini.
“Dalam masa yang sama, kerajaan turut memperkenalkan beberapa cukai baharu bagi tujuan ‘mengisi’ tabung kewangan negara. Defisit kewangan yang disebabkan oleh pemansuhan GST pasti akan meningkatkan beban rakyat.
“Persoalannya, ketika Rafizi membuat kenyataan tersebut, adakah beliau berpandangan bahawa lebih 170 buah negara di seluruh negara yang mengguna pakai sistem GST ini sebagai tidak rasional dan mereka tidak mampu menangani masalah ekonomi mereka?,” soal Low lagi sambil mengingatkan isu ekonomi berkait rapat dengan kehidupan rakyat.
Sebagai Menteri Ekonomi yang terkenal dengan pelbagai ‘formula’, Rafizi perlu menangani masalah ekonomi negara dengan rasional, objektif dan realistik.
Bukannya membuat kenyataan untuk menyedapkan hati sahaja, katanya yang juga Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Ekonomi dan Perusahaan Kecil dan Sederhana MCA. – MalaysiaGazette