Wisma Putra
Bangunan Wisma Putra di Putrajaya.

KUALA LUMPUR – Malaysia mengecam sekeras-kerasnya serangan besar-besaran Israel di bandar selatan Rafah di Gaza yang menjadi tempat orang awam berlindung.

Wisma Putra berkata, serangan kejam dan tidak berperikemanusaan ini akan meningkatkan lagi ketegangan dan malapetaka kemanusiaan dan pasti akan merencatkan segala usaha menghentikan peperangan dan gencatan senjata yang berkekalan.

Sehubungan itu, Malaysia menuntut Israel menghentikan serangan tersebut dan mematuhi segala peruntukan undang-undang antarabangsa.

“Operasi ketenteraan yang berniat jahat ini dengan jelas memperlihatkan matlamat ulung rejim Zionis untuk menghapuskan rakyat Palestin dari tanah air mereka sendiri.

“Ia dengan secara sikap angkuh rejim Zionis membelakangkan prinsip undang-undang kemanusiaan antarabangsa dan jelas menghina keputusan Mahkamah Jenayah Antarabangsa pda 26 Januari 2024 mengenai enam tindakan sementara yang mesti diambil oleh Israel,” kata kenyataan itu.

Wisma Putra juga memberitahu, masyarakat antarabangsa tidak boleh membenarkan tindakan sedemikian berlaku secara terang-terangan tanpa sebarang tindakan.

Ujarnya, Malaysia menyokong seruan Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan mendesak Majlis Keselamatan PBB untuk mengambil tindakan berani menghalang malapetaka baru oleh rejim Zionis.

Pada masa sama, Malaysia menekan masyarakat antarabangsa supaya melaksana tanggungjawab dan menghentikan sebarang sokongan kepada rejim yang secara terbuka mengabaikan segala usaha untuk meredakan ketegangan.

“Malaysia kekal dengan sokongan tidak berbelah bahagi terhadap perjuangan Palestin
dalam mendapatkan kembali hak-hak mereka untuk berdiri sendiri, penubuhan Negara
Palestin yang merdeka dan berdaulat berdasarkan sempadan pra-1967, dengan Baitul
Maqdis Timur sebagai ibu negara Palestin dan diterima sebagai ahli anggota penuh
PBB,” katanya.

Semalam, tentera penceroboh Israel mengebom bandar Rafah di selatan Gaza yang penuh sesak dengan penduduk pada awal pagi ini, membunuh dan mencederakan ratusan orang awam Palestin.

Pihak berkuasa kesihatan di Rafah melaporkan pembunuhan tragis lebih 100 orang awam, termasuk kanak-kanak dan wanita, dengan ratusan lagi cedera.

Mangsa dikejarkan ke hospital di seluruh bandar itu, lapor Agensi Berita Palestin (WAFA).

Bulan Sabit Merah Palestin menyatakan Rafah sedang menyaksikan peningkatan serangan udara Israel yang tertumpu di pusat bandar yang turut menjejaskan kediaman berhampiran ibu pejabat Bulan Sabit Merah. – MalaysiaGazette