Anggota bomba membawa naik mayat wanita yang lemas dalam Tasik Pandan Lake View awal pagi semalam. Foto Ihsan IPD Ampang

AMPANG – Wanita yang ditemui lemas tanpa pakaian di dalam Tasik Pandan Lake View dekat sini, semalam mengalami masalah kemurungan.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd Azam Ismail ketika dihubungi pagi tadi mengesahkan wanita itu merupakan warga tempatan berusia 53 tahun.

“Proses bedah siasat terhadap mayat mangsa telah selesai dijalankan di Hospital Ampang pagi tadi dan punca kematian disebabkan mati lemas,” katanya.

Dalam kenyataan semalam, Mohd Azam berkata, polis menerima panggilan orang awam tentang insiden wanita lemas pada jam 8.13 pagi.

Saksi kejadian yang berada di kawasan tasik tersebut mendakwa dia melihat mangsa dalam keadaan tidak berpakaian telah masuk ke dalam tasik berkenaan sebelum dipercayai lemas.

Serentak itu, sepasukan anggota daripada Unit Skuba Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Selangor telah dikejarkan ke lokasi untuk operasi mencari dan menyelamat.

“Selepas dua jam pencarian, mangsa akhirnya berjaya ditemui tanpa sebarang identiti bersamanya dan telah disahkan sudah meninggal dunia di lokasi tersebut,” ujarnya. – MalaysiaGazette