Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin melakukan gimik pelancaran pada majlis Kajian Separuh Penggal Kertas Putih Pertahanan di Wisma Perwira ATM, Kuala Lumpur. Foto WAN NABIL NASIR, 13 FEBRUARI 2024.

KUALA LUMPUR – Penyediaan dan pembangunan Angkatan Masa Hadapan mesti menjadi matlamat besar yang mendasari Kertas Putih Pertahanan (KPP) dan dasar-dasar atau pelan strategik yang menyokongnya.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin bagaimanapun berkata, tafsiran Angkatan Masa Hadapan itu perlu difahami dengan cara dan konteks yang lebih luas dan strategik.

Jelas beliau, ia tidak secara automatik merujuk secara terhad kepada hanya pengambilan lebih ramai anggota atau perolehan lebih banyak aset.

Sebaliknya jelas beliau, membangunkan Angkatan Masa Hadapan mesti dilihat sebagai satu proses yang menuntut kita melihat pelbagai keperluan strategik lain.

“Misalnya membahaskan keperluan satu angkatan khusus yang memberi tumpuan kepada ancaman bukan tradisional, seperti keselamatan siber, ancaman digital serta elektromagnetik pertahanan.

“Pemfokusan ke atas domain ini bukanlah sesuatu yang pelik dan banyak negara dunia dan kuasa besar pertahanan kini sudah mula memberi perhatian serius kepada aspek ini secara lebih terbuka dan inovatif.

“Penggodaman serta serangan siber hasil operasi atau kegiatan yang disebut ‘hacktivist’ adalah sesuatu yang berisiko memberi impak besar kepada keselamatan dan pertahanan sesebuah negara.

“Malah mampu melumpuhkan aktiviti ekonomi, perjalanan pentadbiran kerajaan, sistem perubatan dan pengangkutan serta banyak lagi impak serius,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap selepas menyempurnakan Majlis “Kick-off” Kajian Separuh Penggal (KSP) KPP di Wisma Perwira Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di sini hari ini.

Majlis ini bertujuan melancarkan KSP KPP untuk melihat pencapaian perlaksanaannya sepanjang Rancangan Malaysia ke-12 (RMKe-12) serta mengenalpasti langkah-langkah penambahbaikan untuk meneruskan pelaksanaan semasa RMKe-13.

KSP KPP ini akan dilaksanakan bagi tempoh satu tahun dan dijangka akan siap pada suku keempat tahun ini.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin bercakap kepada media selepas majlis pelancaran Kajian Separuh Penggal Kertas Putih Pertahanan di Wisma Perwira ATM, Kuala Lumpur. Foto WAN NABIL NASIR, 13 FEBRUARI 2024.

Mengulas lanjut, Mohamed Khaled turut percaya, proses membina Angkatan Masa Hadapan tidak boleh dibincangkan secara objektif tanpa memberi perhatian kepada perkara- perkara seperti penggunaan data raya atau big data dan Kepintaran Buatan atau AI.

Beliau melihat terdapat sekurang-kurangnya lima fungsi gabungan teknologi AI dan Big Data dalam membantu Kementerian Pertahanan  dan ATM yang ringkaskan sebagai 5T.

Ia melibatkan pemantauan ancaman, trend analisa, penjejakan prestasi, pemacu transformasi dan platform titik sentuh.

“KSP mesti turut memberi perhatian kepada pembangunan dan perkembangan industri pertahanan dan kita kita akui salah satu komitmen kita di bawah KPP adalah penghasilan dasar industri pertahanan dan keselamatan negara.

“Namun kita sedar, salah satu cabaran adalah untuk menarik minat masyarakat untuk menyertai ATM dan bersama-sama berkhidmat dalam perkhidmatan pertahanan.

“Untuk itu, saya menyarankan agar kita mendalami dan meletakkan secara jelas sasaran untuk merekrut, melatih dan mempunyai sejumlah anggota simpanan yang optimum pada satu-satu masa selain diplomasi pertahanan,” katanya.

Sementara itu, KPP merupakan satu dokumen terbuka dasar pertahanan negara yang telah diluluskan di Parlimen pada 2 Disember 2019.

Dokumen ini merencana hala tuju pertahanan negara bagi tempoh 10 tahun bermula tahun 2021 sehingga tahun 2030 iaitu merangkumi RMKe-12 dan RMKe-13.

Sebagai KPP Malaysia yang pertama, kertas ini menerangkan pendirian kerajaan berkaitan pertahanan negara, membentangkan perspektif strategik yang mempengaruhi keselamatan negara dan menggariskan satu Kerangka Pertahanan Negara bagi memastikan Malaysia kekal selamat, berdaulat dan makmur. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast