Sebuah Hilux terbabas selepas kejadian kejar mengejar dengan anggota MPV awal pagi tadi. Gambar: Polis Temerloh

KUANTAN – Polis mengejar dua buah Hilux, masing-masing berwarna putih dan kelabu yang disyaki mencuri kabel di hadapan Stesen Minyak Petronas, KM4 Jalan Maran Temerloh pada 3.53 pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Temerloh, Superintendan Mazlan Hassan berkata, anggota unit kereta peronda (MPV) yang tiba di lokasi selepas menerima aduan awam terpaksa mengejar kenderaan tersebut yang memecut laju apabila melihat kehadiran polis.

Aksi kejar mengejar itu sejauh 15 kilometer sehingga di persimpangan Kampung Paya Jauh.

Melihat keadaan itu, MPV terbabit meminta bantuan sebuah lagi MPV dan unit rondaan motosikal apabila kedua-dua kenderaan tersebut memasuki persimpangan Kampung Charuk Puting.

Jelas Mazlan, Hilux berwarna putih itu telah merempuh pagar dawai di kebun kelapa sawit berdekatan Kampung Batu Bor, Chenor menyebabkan ia hilang kawalan lalu terbabas dan terbalik.

“Namun dua suspek yang menaiki Hilux putih itu telah melarikan diri ke dalam hutan manakala Hilux berwarna kelabu tidak dapat diekori,” tambah Mazlan.

Pemeriksaan lanjut ke atas Hilux putih menemui kira-kira 50 batang batang kabel optik yang telah dipotong, selain beberapa peralatan seperti pemotong kabel..

“Hasil siasatan mendapati kejadian kecurian kabel berlaku di jalan besar hadapan Stesen Minyak Petronas, KM4 Jalan Maran Temerloh di mana masih terdapat sebatang kabel yang telah ditarik sepanjang kira-kira 100 meter.

“Tiada kesan cap jari yang dijumpai di dalam Hilux yang terbabas kerana keadaannya yang kotor serta berminyak, namun unit anjing pengesan K9 telah dipanggil untuk membantu mengesan suspek,” katanya di sini.

Mazlan berkata, kedua-dua Hilux itu didapati memakai nombor plat pendaftaran palsu.

Selain Hilux putih itu, polis telah merampas 43 unit kabel besar, 43 kabel kecil, pemotong kabel, telefon bimbit dan pita berwarna merah.

Kes disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan. – MalaysiaGazette