Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Setia Dr. Haji Mohd Na’im Haji Mokhtar (kanan) dan Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail di Wisma Sri Pahang hari ini

KUANTAN – Pahang dipilih jadi tuan rumah majlis Tilawah dan Hafazan Al-Quran Peringkat Kebangsaan (MTHQK) Tahun 1445 Hijrah / 2024 Masihi bermula 23 Mei hingga 28 Mei depan.

Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, program tahunan kerjasama bersama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) itu bakal diadakan di Kompleks Sukan Pahang (Sukpa).

“Seramai 29 orang peserta akan menyertai Kategori Tilawah iaitu 14 Qari, 14 Qariah dan seorang Johan Menunggu.

“Manakala seramai 84 orang peserta pula akan menyertai bagi Kategori Hafazan iaitu 42 peserta lelaki dan 42 peserta perempuan,” katanya.

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas sesi Mesyuarat Penganjuran MTHQK Tahun 1445 Hijrah / 2024 Masihi bersama Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama),  Senator Datuk Mohd Na’im Mokhtar, di Wisma Sri Pahang, di sini, hari ini.

Wan Rosdy memberi jaminan kerajaan Pahang akan memberi sokongan penuh bagi memastikan MTHQK kali ini berjalan lancar.

Sementara itu, Mohd Na’im menzahirkan penghargaan kepada kerajaan negeri atas kesudian untuk menerima jemputan dan menjadi tuan rumah bagi majlis tersebut tahun ini.

Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Setia Dr. Haji Mohd Na’im Haji Mokhtar

“Saya percaya dengan sokongan padu diberikan Menteri Besar dan kerajaan Pahang, penganjuran majlis ini akan diadakan dengan berjaya dan cemerlang.

“Diharapkan juga penganjuran tahun ini lebih baik daripada tahun sbelumnya,” tambah beliau.

Pada 2014 kerajaan Pahang menjadi tuan rumah program sama. – MalaysiaGazette