Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain pada sesi sidang media selepas merasmikan Majlis Penutupan Ujian Mara Lasak Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman awam (KDNKA) Polis Diraja Malaysia (PDRM) 2024 di Markas Briged Utara, Pasukan Gerakan Am (PGA) Ulu Kinta, pada Rabu. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR, 14 FEBRUARI 2024.

IPOH – Polis akan merujuk kepada Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) berhubung dakwaan tiada kotak hitam pada pesawat ringan model BK160 Gabriel yang terhempas di Kampung Tok Muda, Kapar.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, pihaknya akan menjalankan siasatan menjurus perkara lain yang berkaitan kemalangan.

“Isu teknikal adalah di bawah siasatan CAAM, mereka yang akan uruskan sama ada (kotak hitam) itu ada atau tidak, semuanya berdasarkan siasatan CAAM.

“Pada pihak polis, kita hanya jalankan siasatan atas kemalangan yang berlaku,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Perasmian Penutupan Ujian Mara Lasak Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Tahun 2024 di Markas Briged Utara Pasukan Gerakan Am (PGA) Ulu Kinta, di sini, pada Rabu.

Hadir sama, Timbalan Pengarah PGA Jabatan KDNKA, Datuk Mohamad Suzrin Mohamad Rodhi serta Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri.

Suasana sekitar Majlis Penutupan Ujian Mara Lasak Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman awam (KDNKA) Polis Diraja Malaysia (PDRM) 2024 di Markas Briged Utara, Pasukan Gerakan Am (PGA) Ulu Kinta, pada Rabu. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR, 14 FEBRUARI 2024.

Tambah Razarudin, siasatan kes berkenaan masih berjalan dan pihaknya akan bekerjasama dengan CAAM menjalankan siasatan secara terperinci berhubung nahas udara berkenaan.

“Siasatan kemalangan kita akan jalankan. CAAM pun akan buat siasatan sama atas kemalangan ini,” katanya.

Sebelum ini media melaporkan, pesawat ringan model BK 160 Gabriel itu dikatakan tidak dilengkapi dengan kotak hitam.

Perkara itu didedahkan seorang pegawai agensi di bawah Kementerian Pengangkutan dengan pesawat juga ‘kosong’ tanpa kotak perakam suara kokpit (CVR) dan perakam data penerbangan (FDR) serta kelengkapan sistem kedudukan global (GPS).

Pesawat dikendalikan Air Adventure Flying Club itu berlepas dari Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang jam 1.28 petang pada Selasa bagi penerbangan rekreasi dengan hubungan terakhir dengan pegawai kawalan trafik udara dilaporkan pada jam 1.35 tengah hari.

Nahas yang berlaku telah mengorbankan dua mangsa iaitu juruterbang dan penumpang dikenali Daniel Yee Hsiang Khoon, 31, dan Roshaan Singh Raina, 43.

Jasad mangsa ditemukan berada dalam kokpit pesawat pada kedalaman 1.52 meter dalam tanah dengan mangsa pertama dikeluarkan pada jam 7.06 malam disusuli mangsa kedua 11 minit kemudian. -MG Perak