Muhammad Nazmi Nasaruddin.

KUALA LUMPUR – Pengadil dari Malaysia, Muhammad Nazmi Nasaruddin telah dipilih menyertai kursus FIFA World Cup Candidate 2026 iaitu sebagai salah seorang calon pengadil utama bagi Piala Dunia 2026 yang akan berlangsung di Amerika Syarikat, Kanada dan Mexico pada 11 Jun hingga 19 Julai 2026.

Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) berkata, Nazmi yang mula menceburi bidang pengadil bola sepak sejak tahun 2010 merupakan pengadil Malaysia pertama mengadili perlawanan AFC Champions League yang menggunakan Video Assistant Referee (VAR) iaitu ketika perlawanan yang berlangsung pada 20 September 2023 di Thailand melibatkan Buriram United menentang kelab China, Zhejiang FC.

Kata badan induk itu, sepanjang tahun lalu, Nazmi bersama dua pembantunya iaitu Mohamad Zairul Khalil Tan dan Mohd Arif Shamil Abd Rasid telah mengadili enam perlawanan AFC Champions League yang menggunakan VAR.

Selain itu, Nazmi turut dijemput untuk mengadili beberapa perlawanan Liga Arab Saudi 2023.

“Selaras dengan penetapan syarat oleh Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) dan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) yang mana semua pengadil yang dilantik untuk perlawanan tertinggi AFC dan FIFA wajib memiliki lesen VAR, maka FAM telah memulakan usaha untuk memperoleh lesen pengadil VAR melalui program pintas latihan VAR.

“Hubungan akrab di antara Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin dan Presiden Persekutuan Bolasepak Arab Saudi (SAFF), Yasser Al-Misehal telah membuka ruang buat Nazmi untuk dihantar ke Arab Saudi bagi mendapatkan Lesen VAR dan pada Ogos 2023, Nazmi telah diiktiraf oleh FIFA sebagai pengadil VAR pertama di Malaysia,” kata FAM di Facebook miliknya di sini hari ini.

FAM menambah, dengan kelayakan tersebut di samping prestasi cemerlang Nazmi di Piala Asia B-20 2023 di Uzbekistan pada Mac 2023 yang mana beliau dipilih sebagai pengadil Final telah membolehkan Nazmi bersama dua pembantunya, Zairul dan Arif Shamil terpilih ke Piala Asia 2023 di Qatar, baru-baru ini.

Katanya, sekali lagi sejarah tercipta apabila Nazmi bersama dua pembantunya itu telah dipilih untuk mengadili perlawanan peringkat kumpulan, Iraq bertemu Vietnam dan perlawanan pusingan 16 terbaik, Uzbekistan menentang Thailand.

Selain itu, Zairul juga telah dipilih sebagai Penolong Pengadil 2 bagi perlawanan separuh akhir, Iran bertemu Qatar.

“Prestasi cemerlang Nazmi dan dua pembantunya telah mendapat pengiktirafan daripada FIFA dan AFC, yang mana ia membolehkan Nazmi dipilih secara merit sebagai ‘FIFA World Cup Candidate 2026’.

“Nazmi telah dipilih untuk menyertai Kursus ‘FIFA World Cup Candidate 2026’ yang bakal diadakan bermula 25 hingga 29 Februari 2024 di Qatar.

“Nazmi juga akan terus diuji melalui beberapa siri kursus anjuran FIFA dan AFC, termasuk perlawanan-perlawanan anjuran FIFA dan AFC sebagai syarat pemilihan secara merit ke Piala Dunia 2026,” kata kenyataan itu.

FAM akan terus memberi segala bantuan dan sokongan dari aspek perancangan latihan serta bantuan kepakaran ilmu pengadil kepada trio negara ini agar misi meletakkan Nazmi sebagai pengadil utama dan pertama dari Malaysia di Piala Dunia, kejohanan bola sepak dunia yang berprestij tinggi akan tercapai.

Ini kerana Hamidin sangat komited dalam usaha ini yang mana sebelum ini tidak pernah ada pengadil dari negara ini dipilih sebagai pengadil utama di Piala Dunia. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast