KLANG – Proses bedah siasat ke atas dua mangsa nahas pesawat ringan yang terhempas di Kampung Tok Muda, Kapar, dekat sini, sedang dijalankan di Jabatan Forensik, Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), di sini, sejak awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner S. Vijaya Rao berkata, pengesahan cap jari hanya dilakukan sebaik sahaja selesai proses bedah siasat.

“Setakat ini pengecaman mangsa akan dibuat selepas bedah siasat baru kami buat cap jari. Pengesahan (mayat) semua kemudian, sekarang dalam proses sebab bedah siasat tengah jalan.

“Pengesahan cap jari semua itu sebaik sahaja kita dapat 100 peratus, baru kita sahkan,” katanya ketika ditemui pemberita di luar pekarangan Jabatan Forensik HTAR, di sini, hari ini.

Semalam, sebuah pesawat ringan model BK 160 Gabriel (nombor pendaftaran I-POOC), yang dikendalikan Air Adventure Flying Club berlepas dari Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang, pada pukul 1.28 petang bagi penerbangan rekreasi.

Bagaimanapun pesawat itu dilaporkan terhempas dan terbakar di kawasan berhampiran Sekolah Kebangsaan (SK) Tok Muda, Kapar.

Ketika ditanya bila bedah siasat akan berakhir, Vijaya Rao berkata, pihaknya berharap ia dapat diselesaikan pada hari ini.

“Petang ini haraplah, secepat mungkin (selesai) sebab kita bincang dengan Dr Hariri untuk disegerakan,” katanya. – MalaysiaGazette