ALOR GAJAH – Seorang wanita cedera ditangan selepas terkena pedang samurai dalam cubaan samun di hadapan sebuah kedai dobi di Masjid Tanah di sini awal pagi semalam.
Dalam kejadian kira-kira 6.15 pagi itu, kereta dipandu mangsa berusia 36 tahun tiba-tiba dihalang sebuah kereta jenis BMW di hadapan premis berkenaan.
Ketua Polis Melaka, Datuk Zainol Samah berkata, siasatan mendapati, dua lelaki bersenjatakan pedang samurai tiba-tiba keluar dan memecahkan tingkap hadapan, kiri dan kanan sehingga terkena tangan pengadu.
“Akibatnhya, wanita itu cedera ditangan namun sempat mengundurkan kereta jenis Proton Saga dalam usaha untuk menyelamatkan diri sebelum terlanggar sebuah kereta di tepi jalan.
“Mangsa kemudian telah melarikan diri terus ke Balai Polis Masjid Tanah pada pukul 6.30 pagi dalam keadaan cedera,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurutnya, siasatan lanjut mendapati, mangsa tidak mengenali dua individu yang menyerangnya itu kerana tidak bergaduh dengan sesiapa kebelakangan ini.
“Mangsa kemudian telah mendapatkan rawatan di Klinik Kesihatan Masjid Tanah namun dirujuk ke Hospital Melaka bagi mendapatkan rawatan lanjut.
“Kes tidak melibatkan sebarang kehilangan barang milik pengadu dan disiasat di bawah Seksyen 393/427 Kanun Keseksaan,” katanya.
Zainol turut meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kes untuk menyalurkan maklumat kepada pihak polis di talian 06-5562222.
Terdahulu, MalaysiaGazette melaporkan seorang individu berdepan detik cemas apabila dipercayai menjadi mangsa cubaan samun di sebuah premis di Masjid Tanah.
Menerusi video berdurasi 29 saat yang tular hari ini, kejadian dirakamkan berlaku kira-kira 6.16 pagi dan berdasarkan rakaman, kelihatan dua lelaki bersenjata parang sedang mendekati kereta dipandu individu berkenaan.
Bagaimanapun, pemandu berkenaan sempat mengundurkan kereta dalam keadaan cemas sehingga merempuh sebuah kenderaan lain yang diletakkan di hadapan premis bersebelahan bank berkenaan.
Kedua-dua lelaki bertopeng itu kemudian dilihat menaiki sebuah kenderaan lain yang menunggu di bahu jalan dan bergerak ke arah bertentangan. – MalaysiaGazette