MELAKA – Seorang pengarah syarikat kerugian hampir RM1.03 juta apabila dipercayai ditipu pemandu lori kononnya menawarkan tender pajak ladang kelapa sawit, tahun lalu.
Ketua Polis Melaka, Datuk Zainol Samah berkata, kejadian bermula apabila mangsa berusia 68 tahun dihubungi suspek pemandu lori berusia 39 tahun dikenali ‘Neliar’ pada Jun tahun lalu.
Menurutnuya, suspek kemudian menawarkan satu tender pajak ladang kelapa sawit di Melaka dan Ipoh masing-masing berkeluasan 485.6 dan 607 hektar yang mana tender akan dibuka pada 17 Julai dan ditutup pada 31 Oktober 2023.
“Hasil perbincangan, pengadu bersetuju untuk menyertai pelaburan itu dan diminta untuk mendepositkan wang berjumlah RM15,000 serta dijanjikan akan menerima sijil menang tender.
“Bermula pada 17 Julai 2023 hingga 2 Januari lalu, pengadu telah membuat 45 kali bayaran secara berperingkat ke dalam enam akaun bank berbeza sehingga keseluruhannya berjumlah RM1,029,000,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tambahnya, setelah bayaran dibuat, pengadu yang juga pengarah syarikat berkaitan produk sawit dan ladang di Masjid Tanah dimaklumkan telah berjaya memenangi tender tersebut dan akan diberikan sijil menang tender.
“Namun sehingga kini, pengadu tidak menerima sijil sepertimana dijanjikan dan berasa telah diperdaya dalam urusan tersebut.
“Bertindak hasil maklumat daripada laporan pengadu di Balai Polis Alor Gajah pada 19 Januari lalu, suspek berjaya ditahan di Kapar, Selangor pada 9 Februari lalu ,” tambahnya.
Menurut Zainol, suspek yang beralamat di Petaling Jaya, Selangor akan dituduh di Mahkamah Seksyen Alor Gajah, esok di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana tipu. – MalaysiaGazette