KUALA TERENGGANU – Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini menjatuhi hukuman penjara dua tahun serta denda RM85,000 ke atas bekas pengurus inkubator Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) kerana menyalahgunakan kuasa untuk mendapatkan suapan RM17,000 lapan tahun lepas.

Hakim Dazuki Ali membuat keputusan itu selepas mendapati pendakwaan berjaya membuktikan kes terhadap Mohd Saiful Nizam Husin, 43, melampaui keraguan yang munasabah.

Beliau turut memerintahkan tertuduh dipenjara enam bulan jika gagal membayar denda.

Mohd Saiful Nizam didakwa mencadangkan sebut harga paling rendah kepada syarikat milik isterinya untuk mendapatkan kerja penambahbaikan sistem pemotongan bagi tujuan mempelbagaikan produk hasilan kilang jejari berjumlah RM17,000 di MARDI Besut pada Mac 2015.

Dia didakwa mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun dan denda lima kali nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Farah Yasmin Salleh memohon hukuman setimpal sebagai pengajaran kepada tertuduh selain mengambil kira kepentingan awam manakala peguam Mohd Asaari Salleh meminta hukuman ke atas anak guamnya ditangguh namun mahkamah hanya membenarkan penangguhan bagi hukuman penjara.

Mohd Saiful Nizam, yang gagal membayar denda, diarah menjalani hukuman penjara mulai hari ini. – Bernama