KUALA LUMPUR – Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menumpaskan satu sindiket Program Rekalibrasi 2.0 dalam  serbuan di Petaling Jaya, Selangor pada 14 Februari lalu.

Ketua Pengarahnya, Datuk Ruslin Jusoh berkata, operasi yang bermula pada jam 10 malam melibatkan sepasukan pegawai dan anggota dari Bahagian Perisikan dan Operasi Khas, Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya.

“Berdasarkan aduan dan risikan yang dijalankan selama dua minggu, pasukan operasi telah berjaya mengesan dan menahan seorang lelaki warganegara Bangladesh berusia 31 tahun yang disyaki sebagai ‘dalang utama’ sindiket berkenaan.

“Semasa ditahan suspek tidak mempunyai pas yang sah untuk berada di negara ini,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurut Ruslin, dalam serbuan itu, pasukan operasi telah merampas wang tunai sebanyak RM2,000, 188 pasport Bangladesh, lima pasport Indonesia, empat pasport India, empat pasport Pakistan, empat pasport Nepal, satu pasport Thailand, pelbagai borang permohonan Program RTK 2.0 dan sebuah komputer riba.

Tambah beliau, siasatan mendapati modus operandi sindiket adalah mensasarkan warganegara dari negara sumber seperti Bangladesh, India, Pakistan, Indonesia, Nepal dan Thailand yang mempunyai masalah di Malaysia seperti tiada dokumen pengenalan diri dan visa.

“Suspek akan mencari dan menghampiri mereka yang bermasalah ini dan kemudian menawarkan perkhidmatan seperti urusan permohonan Program RTK 2.0 di Pejabat Imigresen.

“Sindiket ini akan mendaftarkan syarikat bersama warganegara Malaysia bagi mengaut keuntungan dengan memanipulasi Progam RTK 2.0 dan dipercayai telah beroperasi selama setahun dan mengenakan bayaran sekitar RM7,000 bagi setiap PATI,” ujarnya lagi.

Ruslin berkata, warga asing itu ditahan kerana disyaki telah melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966 dan Peraturan-peraturan Imigresen 1963 dan ditahan di Depot Imigresen Putrajaya untuk siasatan lanjut.

Katanya, seorang perempuan warga Malaysia diberikan notis untuk hadir ke pejabat bagi membantu siasatan.

“Jabatan akan meneruskan tindakan tegas ke atas mana-mana pihak yang didapati melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966, Peraturan-peraturan Imigresen 1963 dan Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran 2007 (ATIPSOM),” kata beliau.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast