Anwar Ibrahim

KUALA LUMPUR – Kerajaan menjunjung titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah yang bertitah agar semua pihak harus menghormati keputusan Mahkamah Persekutuan dan kedudukan Perlembagaan Persekutuan sebagai undang-undang utama negara.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, sebagai Pengerusi Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam (MKI), Sultan Sharafuddin kekal tegas mempertahankan semangat Perlembagaan negara ini.

Ini kerana menurut beliau, selepas keputusan yang dibuat oleh Mahkamah Persekutuan baru-baru ini, banyak penghinaan dan cercaan yang dilemparkan kepada kerajaan dan hakim.

“Bagi masyarakat Melayu dan umat Islam, isu menjadi isu politik yang sangat hangat, hukum dijatuhkan, cerca mencerca, penghinaan kepada hakim dan kepada kerajaan serta sebagainya.

“Maka apa yang dititahkan oleh Sultan Selangor merujuk kepada keputusan Mahkamah Persekutuan, Malaysia ini negara hukum.

“Maknanya patuh kepada Perlembagaan dan jadi keputusan Mahkamah Persekutuan itu menurut Tuanku Sultan Selangor perlu dihormati kerana Mahkamah Persekutuan tunduk kepada hukum iaitu semangat Perlembagaan.

“Tidak timbul hendak meringan atau meremehkan Mahkamah Syariah. Saya dari pihak kerajaan tentu menyambut baik kenyataan Sultan Selangor selaku Pengerusi MKI yang dilantik Majlis Raja-Raja Melayu yang masih tegas mempertahankan semangat Perlembagaan negara.

“Kalau ada pun apa pun cadangan dan tindakan baru rujuk kepada jawatankuasa kerana kita telah lantik Tun Zaki Azmi, mantan Ketua Hakim Negara untuk mengkaji masalah-masalah yang dibangkitkan di Negeri dan Persekutuan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Tahun Baru Cina 2024 anjuran Gabungan Dewan Perniagaan Dan Perindustrian Cina Malaysia (ACCCIM) di sini hari ini.

Anwar mengulas kenyataan Sultan Sharafuddin yang bertitah agar semua pihak harus menghormati keputusan Mahkamah Persekutuan dan kedudukan Perlembagaan Persekutuan sebagai undang-undang utama negara perlu sentiasa didukungi oleh rakyat Malaysia.

Baginda yang juga Pengerusi Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) berkata, dalam menangani isu yang berbangkit ini apa yang lebih penting ialah mencari jalan untuk mengatasi segala permasalahan yang timbul dengan mengkaji kaedah memperluaskan kompetensi Badan Perundangan Negeri untuk menggubal undang-undang jenayah syariah dalam kerangka yang ditetapkan oleh Perlembagaan Persekutuan.

Usaha-usaha ini termasuklah mengkaji sekiranya ada keperluan untuk mencadangkan pindaan kepada peruntukan tertentu Perlembagaan Persekutuan dan/atau undang-undang Persekutuan yang berkaitan.

Ia bagi memastikan kuasa Badan Perundangan Negeri menggubal undang-undang jenayah syariah termaktub secara jelas dalam Perlembagaan Persekutuan tanpa sebarang kekaburan.

Jumaat lalu, Mahkamah Persekutuan, dalam satu keputusan bersejarah, mengisytiharkan 16 kesalahan syariah dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019 adalah terbatal dan tidak sah.

Keputusan terhadap petisyen dikemukakan peguam, Nik Elin Zurina Nik Abdul Rashid dan anaknya, Tengku Yasmin Nastasha Tengku Abdul Rahman itu dibacakan Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast