Majlis Pelancaran Penubuhan dan Pelaksanaan Unit Perniagaan Strategik (SBU), UMS, baru-baru ini.

KOTA KINABALU – Universiti Malaysia Sabah (UMS) menubuhkan Unit Perniagaan Strategik (SBU) bagi menyokong usaha kelestarian kewangan dan pemangkin dalam menjana idea-idea penjanaan pendapatan.

Naib Canselor UMS, Prof Datuk Dr. Kasim Mansor berkata, SBU merupakan konsep penjanaan pendapatan dan merupakan ‘game-changer’ yang mula diketengahkan dalam Pelan Strategik UMS Tahun 2023-2027.

Menurutnya, ia merupakan salah satu langkah proaktif UMS untuk mempergiat aktiviti-aktiviti pelaburan dan penjanaan dalam kalangan Pusat Tanggungjawab (PTJ).

“Penubuhan ini selaras dengan dasar kerajaan supaya semua Universiti Awam (UA) menjana pendapatan sendiri dalam keadaan pengurangan peruntukan Belanja Mengurus Tahunan UA secara berperingkat.

“Penubuhan SBU ini juga bertujuan mempromosikan produk, perkhidmatan dan kepakaran UMS ke arah meningkatkan keterlihat universiti lain di dalam dan luar negara.

“SBU yang dilancarkan ini dikenal pasti berdasarkan ‘track record’ pencapaian penjanaan pendapatan dan potensi PTJ tersebut dalam menjana hasil.

“Hasil ini dijana melalui aktiviti, projek atau penawaran produk serta perkhidmatan dalam segmen pasaran yang kompetitif,” kata demikian pada Majlis Pelancaran Penubuhan dan Pelaksanaan SBU UMS, baru-baru ini.

Katanya, beliau yakin dengan adanya polisi dan garis panduan yang lengkap serta mekanisme pemantauan yang berkesan, SBU boleh mencapai sasaran yang ditetapkan dan akan memberi pulangan balik kepada nilai pelaburan UMS.

Tambah beliau, pada pelancaran tersebut, enam PTJ dipilih sebagai SBU iaitu Pusat Luar UMS (PLUMS), Pusat Minda Lestari (PML), Penerbit UMS, Inkubator Institut Penyelidikan Marin Borneo (IPMB), Galeri Azman Hashim UMS (GAH-UMS) dan Pusat Pengurusan EcoFarm).

Turut hadir pada majlis tersebut adalah Bendahari UMS, Badrul Hisham Ismail dan Pengarah Pusat pelaburan, Endowmen dan Wakaf (CIEW), Dr. Borhan Sareya Abdullah. – MalaysiaGazette