Prof. Datuk Dr. Mazlan menurunkan tandatangan pada plak sempena gimik majlis perasmian pembukaan Pusat Pemprosesan Makanan Inovatif milik UMT.

KUALA NERUS – Pusat Pemprosesan Makanan Inovatif milik Universiti Malaysia Terengganu (UMT) mempunyai sumber untuk menghasilkan pelbagai produk makanan inovatif yang berkualiti dan halal.

Naib Canselor UMT, Prof. Datuk Dr. Mazlan Abd Ghaffar berkata, pusat itu ditubuhkan untuk membantu usahawan berasaskan makanan dalam memperkenalkan produk makanan baharu, seperti Lasagna Daging, Jus Melon Manis Terengganu dan aiskrim MMT.

“Selain menghasilkan produk makanan terkini, pusat ini juga berfungsi sebagai “hub” bagi penganjuran program Latihan Pembuatan Produk Makanan dengan tujuan melahirkan lebih banyak usahawan di kalangan belia dan pelajar.

“Selain itu, pusat pemprosesan makanan ini juga bertujuan untuk memberi dorongan kepada penduduk tempatan untuk menceburi bidang perniagaan.

“Pusat ini berupaya menyediakan kemudahan dan sokongan kepada usahawan untuk mengembangkan perniagaan mereka melalui jalinan kerjasama dengan kepakaran UMT dalam mencipta produk baharu,” kata demikian dalam majlis perasmian Pusat Pemprosesan Makanan Inovatif.

Menurutnya, UMT sentiasa berusaha untuk membantu masyarakat melalui pemindahan ilmu dan kepakaran dalam bidang keusahawanan serta pengkomersialan produk inovatif, hasil daripada penyelidikan para penyelidik yang kompeten.

Katanya, pusat itu bakal membuka peluang pekerjaan baharu kepada komuniti setempat dan merancakkan aktiviti ekonomi di kawasan Manir secara khusus, selain memberi manfaat yang besar kepada usahawan Industri Kecil dan Sedehana (IKS).

“Dengan komitmen antara Yayasan Pembangunan Usahawan Terengganu (YPUT) dan Syarikat “Start-up” UMT, banyak kejayaan boleh dicapai dan dapat mengatasi cabaran yang mungkin timbul dalam mencapai matlamat untuk manfaat komuniti setempat.

“Berkat usaha dan keazaman para penyelidik UMT yang berterusan serta kerjasama yang utuh daripada YPUT, berjaya menghasilkan pelbagai produk makanan seperti Lasagna Daging, Jus dan Ice Cream Melon Manis Terengganu,” ujarnya.

Tambah beliau, majlis perasmian pembukaan pusat milik UMT dan Syarikat Honey Melon World Sdn. Bhd. itu disaksikan oleh Puan Afnida Aini Binti Alwi, Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Pembangunan Usahawan Terengganu (YPU).

Turut hadir dalam majlis tersebut adalah pegawai-pegawai utama dan pegawai kanan UMT serta pegawai-pegawai kanan daripada YPU. – MalaysiaGazette