ACP Ahmad Sukarno Mohd Zahari

KUALA LUMPUR – Gara-gara hutang rakan suami dalam urus niaga dadah, seorang wanita berdepan detik cemas apabila diculik hampir 10 jam dalam kejadian di hadapan sebuah kedai serbaneka di Jalan Sentul, di sini, Isnin lepas.

Ketua Polis Daerah Sentul, ACP Ahmad Sukarno Mohd Zahari berkata, dalam kejadian pada jam 5 petang itu, mangsa berusia 30 tahun itu dilarikan empat suspek berusia 25 hingga 31 tahun termasuk seorang wanita yang menuntut bayaran tebusan sebanyak RM100,000 daripada suami mangsa.

“Menurut saksi kejadian, wanita itu dilarikan dengan ditarik masuk ke dalam kereta jenis Perodua Myvi sebelum suami mangsa membayar wang tebusan RM45,000.

“Bertindak atas hasil maklumat, pada jam 3 pagi (Selasa), sepasukan anggota polis Cawangan D9 Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul menahan lima individu temasuk seorang wanita di dua lokasi berasingan di Bukit Damansara dan Sentul dan berjaya menyelamatkan mangsa.

“Siasatan mendapati mangsa tidak disembunyikan di mana-mana tempat sebaliknya hanya dibawa meronda sekitar ibu negara selama 10 jam,” katanya pada sidang media di IPD Sentul di sini hari ini.

Menurutmya, polis masih memburu seorang lagi suspek dikenali Mohd Danial Harris Azmi, 26, dengan alamat terakhir di Sungai Petani, Kedah untuk membantu siasatan dan kesemua yang ditahan kini direman lima hari sehingga Sabtu untuk disiasat mengikut Seksyen 363 Kanun Keseksaan.

Dalam kes berasingan, Ahmad Sukarno berkata, polis membongkar kegiatan sekumpulan warga Myanmar mengedar dadah di pasar borong untuk kegunaan rakan senegara selepas membuat serbuan di sebuah rumah di Taman Sri Kuching, di sini, Selasa lepas.

Katanya, tiga lelaki Myanmar berumur 24 hingga 54 tahun itu diberkas Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) IPD Sentul pada jam 1 pagi dengan rampasan dadah bernilai RM109,240.

“Rampasan membabitkan dadah jenis pil yaba seberat 1,604 gram, ganja (104 gram), daun kering disyaki ganja (20 gram) dan syabu (102 gram). Dipercayai bekalan dadah ini untuk pasaran sekitar di Kuala Lumpur selain menyasarkan pekerja warga Myanmar di pasar borong.

“Kesemua suspek yang merupakan pemegang kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) itu disyaki telah aktif sejak enam bulan lalu. Siasatan lanjut sedang dijalankan untuk kenal pasti ahli sindiket lain serta sumber bekalan dadah terbabit,” katanya.

Beliau berkata, kesemua suspek direman tujuh hari sehingga Isnin depan untuk siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. – Bernama