KUALA LUMPUR – Tanah hutan belukar seluas satu ekar dilaporkan terbakar dalam kejadian di Kuala Kubu Bharu, di sini, hari ini.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi JBPM Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian itu pada pukul 6.10 petang tadi.
Katanya, beberapa jentera dan sepasukan anggota keluaran Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Kubu Bharu telah digerakkan ke lokasi kejadian sejurus selepas menerima panggilan itu.
“Pemeriksaan di lokasi mendapati kebakaran melibatkan hutan berkeluasan anggaran satu ekar.
“Kerja-kerja pemadaman sedang dijalankan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah beliau, siasatan awal pihaknya mendapati punca kejadian disebabkan pembakaran tayar terpakai di kawasan hutan tersebut.
Bagaimanapun katanya, kejadian itu tidak melibatkan mangsa.
Selain itu sebanyak tujuh jentera pemadam Pasukan Bomba Sukarela dari kawasan sekitar termasuk Sabak Bernam turut turun membantu memadam kebakaran tersebut. – MalaysiaGazette