MELAKA – Bekas Pengurus Besar Syarikat Panorama Melaka Sdn Bhd dihadapkan di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh hari ini, atas pertuduhan menggunakan jawatan memilih anak perempuannya sebagai penolong pegawai sumber manusia enam tahun lalu.
Tertuduh, Abu Bakar Jani, 64, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sejurus pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Elesabet Paya Wan.
Mengikut pertuduhan, tertuduh sebagai pegawai badan awam iaitu Pengurus Besar Syarikat Panorama Melaka Sdn Bhd didakwa terbabit dalam proses temuduga pemilihan jawatan dalam melantik anaknya, Nurnadiah ke jawatan penolong pegawai sumber manusiaa syarikat itu.
Kesalahan dilakukan di syarikat itu beralamat di Lot 19B &19C Zone B, Bangunan Terminal Melaka Sentral, Jalan Tun Abdul Razak, di sini, pada 27 Disember 2018.
Sabit kesalahan boleh dipenjara maksimum 20 tahun dan denda minimum lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana yang lebih tinggi mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (ASPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta yang sama.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia(SPRM), Mohamad Azriff Firdaus Mohamad Ali mencadangkan jaminan RM15,000 dengan seorang penjamin.
Peguam Datuk Mohd Khairul Nizam Abd Kadir dan Zulfahmi Abu Bakar bagaimanapun merayu jumlah rendah atas alasan anak guamnya kini tidak bekerja dan putus pendapatan kerana tiada pencen, selain perlu menanggung lima anak.
Selepas mendengar hujah kedua-dua pihak mahkamah menetapkan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan melaporkan diri di Pejabat SPRM Melaka sekali sebulan dan pasport diserah kepada mahkamah.
Kes akan disebut semula 15 Mac depan. – MalaysiaGazette