ACFTA
Bangunan MITI

KUALA LUMPUR – Pasukan Petugas Strategik Semikonduktor Kebangsaan ( NSSTF) akan mentransformasi industri elektrikal dan elektronik (E&E) Malaysia dengan menumpukan dan memacu penambahbaikan kepada tiga aspek, iaitu insentif, bakat, dan ekosistem.

NSSTF telah ditubuhkan melalui Mesyuarat Majlis Pelaburan Negara pada 9 Januari 2024 satu platform khusus untuk membincang dan melaksanakan hala tuju pembangunan ekosistem industri semikonduktor termasuk usaha menarik pelaburan strategik dan berkualiti ke dalam sektor ini.

Sektor E&E Malaysia, yang mana semikonduktor merupakan pengeluaran utama, menyumbang lebih kurang 40% kepada jumlah eksport Malaysia pada tahun 2023.

Industri semikonduktor Malaysia juga memiliki lebih kurang 7% pasaran global, dan menyumbang 13% kepada aktiviti pembuatan back-end dalam industri semikonduktor dunia.

Bagi memastikan pendekatan yang holistik, keanggotaan NSSTF terdiri daripada wakil beberapa kementerian, jabatan kerajaan, institusi pengajian tinggi dan persatuan industri, yang mana ramai ahli-ahlinya merupakan pemain industri di peringkat global.

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Tengku Zafrul Aziz yang mempengerusikan mesyuarat NSSTF pertama berkata, pembangunan industri E&E Malaysia perlu disusun secara lebih strategik dan sistematik untuk membentuk satu ekosistem yang kondusif bagi pelaburan dan pertumbuhan seterusnya.

Ini penting kerana semikonduktor merupakan bahan asas bagi pelbagai sektor berteknologi tinggi, termasuk kenderaan elektrik (EV) dan sektor berasaskan kecerdasan buatan (AI) – bagi merealisasikan objektif Pelan Induk Perindustrian Baharu (New Industrial Master Plan – NIMP) 2030.

Justeru, antara perkara yang akan diutamakan oleh MITI dan NSSTF termasuk kajian dan pembaharuan dasar insentif, bagi memastikan Malaysia kekal kompetitif dalam menarik pelaburan langsung (FDI) asing mahupun domestik (DDI) bagi menjana pertumbuhan sektor E&E ini.

“Selain itu, pembangunan dan penghasilan bakat berkualiti juga akan diutamakan untuk memenuhi permintaan yang dinamik oleh industri agar kedudukan Malaysia sebagai pusat inovasi dan kecemerlangan kekal kukuh.

NSSTF juga akan mengenal pasti sektor-sektor bersesuaian untuk membentuk asas pertumbuhan yang mampan, contohnhya melalui program pembangunan vendor tempatan kerana kita juga perlu membuka peluang kepada syarikat dan PKS tempatan untuk menerima manfaat dari perkembangan ekosistem industri E&E Malaysia,” kata Tengku Zafrul.

MITI berkata, mesyuarat pertama turut memperkenalkan secara rasmi 10 pakar industri yang menjadi ahli Panel Penasihat Khas kepada NSSTF. Mereka terdiri daripada pakar-pakar dalam pelbagai rantaian nilai dan bekalan dalam industri semikonduktor di Malaysia, mewakili syarikat tempatan dan juga Multinational Corporation (MNC).

Panel Penasihat Khas NSSTF berperanan dalam memberi pandangan dan maklum balas kepada NSSTF mengenai strategi dan dasar bagi membolehkan Malaysia terus berkembang dan meningkatkan kedudukannya di dalam industri semikonduktor global.

Collaborative Research in Engineering, Science and Technology (CREST) sebagai sekretariat akan menyelaras aktiviti perkongsian pengetahuan dan perancangan strategik melalui NSSTF tersebut. – MalaysiaGazette