Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar melakukan tinjauan ke tandas lelaki sempena Kempen Kebersihan Tandas Masjid dan Surau Bertaraf 5 Bintang (BMW) Bersih, Menawan dan Wangi ketika di Masjid Mahmoodiah, Putrajaya. Foto MOHD ADZLAN, 16 FEBRUARI 2024.

PUTRAJAYA – Kerajaan menubuhkan Jawatankuasa Kehakiman Syariah Kebangsaan yang berperanan memantau sebarang isu membabitkan Mahkamah Syariah.

Pembentukan jawatankuasa di bawah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam (MKI) itu sudah diperkenankan oleh Majlis Raja-Raja, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar.

“Nama anggota jawatankuasa ini sudah dipersembahkan dan akan dimuktamadkan pada mesyuarat Majlis Raja-Raja yang akan bersidang pada 21 Februari ini.

“Nama mereka sudah dipersembahkan, saya tak boleh nak umum, namun antara ahlinya ialah semua Ketua Hakim Syariah negeri,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media ketika ditemui selepas menyempurnakan Pelancaran Kempen Kebersihan Tandas masjid dan Surau Bertaraf Lima Bintang peringkat Wilayah Persekutuan di Masjid Mahmoodiah di sini, hari ini.

Menurut Mohd Na’im lagi, pembentukan jawatankuasa itu bersifat kekal di bawah MKI berbanding Jawatankuasa Khas Mengkaji Kompetensi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dibentuk secara interim.

“Jawatankuasa ini akan memainkan peranan untuk melihat isu yang berlaku di Mahkamah Syariah sepanjang masa,” ujarnya.

Ditanya mengenai Jawatankuasa Khas Mengkaji Kompetensi DUN, Mohd Na’im berkata, jawatankuasa yang dipengerusikan oleh Tun Zaki Azmi itu sudah bersidang sebanyak lapan kali sejak Disember tahun lalu.

Jelasnya, jawatankuasa berkenaan berperanan menyediakan syor selain meneliti secara meluas bagaimana institusi Mahkamah Syariah boleh terus dimartabatkan, dilindungi dan diperkasakan.

“Sultan Selangor selaku Pengerusi MKI perkenan memberi tempoh setahun untuk jawatankuasa ini menyediakan syor, itu tempoh masa yang diberikan tuanku.

“Tempoh setahun itu sebab rujukan kepada jawatankuasa khas ini bukan sahaja merujuk kepada keputusan kes peguam, Nik Elin Zurina Nik Abdul Rashid atau kes Iki Putra Mubarak tetapi ia lebih luas,” tambahnya. – MalaysiaGazette