Ketua Majlis Pimpinan Negeri, Parti Pejuang Tanah Air Selangor, Harumaini Omar

KUALA LUMPUR – Penubuhan Jawatankuasa Khas Mengkaji Kompetensi Dewan Undangan Negeri (DUN) Untuk Menggubal Undang-undang Islam diharapkan mengadakan sesi libat urus tidak terhad kepada Majlis Agama Islam Negeri-Negeri sahaja.

Ketua Majlis Pimpinan Negeri, Parti Pejuang Tanah Air Selangor, Harumaini Omar berkata, penglibatan pelbagai kumpulan berkepentingan, ahli akademik, badan peguam dan badan bukan kerajaan (NGO) perlu dilakukan.

“Mereka ini mesti mempunyai latar belakang berlainan yang boleh memberikan buah fikiran dan idea bernas berkaitan solusi terbaik memperkasakan bidang kuasa Mahkamah Syariah di Malaysia.

“Tindakan bersepadu perlu digembleng dan diperluaskan Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) melalui sesi libat urus dengan semua pihak berkepentingan,” katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.

Terdahulu, Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah mengingatkan semua pihak agar menghormati keputusan Mahkamah Persekutuan dan kedudukan Perlembagaan Persekutuan sebagai undang-undang utama negara.

Menerusi hantaran Facebook Selangor Royal Office semalam, Sultan Selangor turut bertitah, “di dalam menangani isu berbangkit ini, apa lebih penting ialah usaha kita dalam mencari jalan untuk mengatasi segala permasalahan timbul.

Titah Baginda, usaha mengkaji kaedah memperluaskan kompetensi Badan Perundangan Negeri perlu dilakukan untuk menggubal undang-undang jenayah Syariah dalam kerangka yang ditetapkan oleh Perlembagaan Persekutuan.

Harumaini berkata, sesi libat urus dengan jawatankuasa khas itu tidak dihadkan kepada kumpulan sasar tertentu atau disempitkan dengan fahaman politik kepartian.

“Jika pindaan Perlembagaan Persekutuan perlu dibuat untuk tujuan memperkasakan bidang kuasa dan kompetensi DUN dalam menggubal undang-undang Syariah.

“Maka Pejuang Selangor menyeru agar semua parti politik dan ahli-ahli Dewan Rakyat dapat mengenepikan sentimen kepartian.

“Wakil rakyat ini perlu memberikan sokongan padu kepada usaha MKI untuk mengiktiraf kuasa gubalan undang-undang syariah di bawah bidang kuasa DUN,” katanya lagi. – MalaysiaGazette