Pegawai Penguatkuasa KPDN berjaya tahan pemandu lori bonded 3 tan ketika seleweng 1,500 liter minyak diesel bersubsidi. Gambar : KPDN Pahang

KUANTAN – Panik diterjah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), pemandu sebuah lori bonded 3 tan memecut meninggalkan stesen minyak dalam keadaan nozel pam masih berada pada tangki minyak lori tersebut.

Pengarah KPDN Pahang, Jezlily Jamaluddin berkata, pihaknya menemui lori tersebut dalam keadaan mencurigakan ketika menjalankan rondaan di sepanjang Jalan Sungai Lembing sekitar jam 9 malam tadi.

“Pasukan penguat kuasa KPDN telah mengejar lori berkenaan sejauh hampir 500 meter sebelum berjaya ditahan di bahu jalan.

“Pemandunya kemudian keluar dari lori dan cuba melarikan diri sebelum berjaya ditangkap di hadapan lot kedai oleh anggota penguat kuasa,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Jezlily berkata, pemeriksaan lanjut ke atas lori tersebut telah menemui sebuah tangki keluli tambahan yang diubahsuai bersambung dengan tangki asal kenderaan, disyaki digunakan bagi tujuan aktiviti penyelewengan minyak diesel bersubsidi.

Susulan itu, KPDN Pahang menahan pemandu berusia 30-an kerana disyaki memiliki barang kawalan (minyak diesel) dengan niat untuk melakukan kesalahan iaitu tidak memiliki permit kebenaran daripada Pengawal bekalan dan menyita kira-kira 1,500 liter minyak diesel.

“Turut disita adalah sebuah kenderaan lori bonded 3 tan bersama tangki keluli tangki tambahan bagi membantu siasatan lanjut, di mana ilai keseluruhan rampasan adalah sebanyak RM61,775.00,” tambahnya.

Pemandu lori terbabit direman selama empat hari bagi siasatan lanjut di bawah Akta Kawalan Bekalan (AKB) 1961. – MalaysiaGazette