KUALA LUMPUR – Tindakan pelakon, Nora Danish mengikuti Fasha Sandha di akaun Instagram menjadi detik permulaan hubungan kedua-dua selebriti itu kembali jernih.

Fasha berkata, dia dan Nora mengambil keputusan tersebut tanpa dipengaruhi mana-mana pihak.

“Boleh dikatakan hubungan kami pulih secara natural, tidak dipaksa dan bukan atas nasihat orang lain. Mulanya memang takut juga kalau-kalau Nora masih marah dengan saya lagi atau tidak.

“Apabila saya lihat di Instagram, saya nampak dia follow saya dan ia agak mengejutkan saya. Lama juga terfikir sama ada nak follow semula ketika itu,” katanya.

Fasha berkata, dia kini enggan mengenang sejarah lama.

“Apa yang berlaku dulu merupakan zaman di mana kami masing-masing masih mentah. Apapun kami bersyukur kerana pengalaman itu, masing-masing berjumpa dengan lelaki yang tepat. Kalau tidak, kita tak akan bertemu dengan cinta hati masing-masing,” katanya.

Dalam masa yang sama Nora berkata, konflik antara kedua-dua mereka sebelum ini memberi pengajaran dan menjadikan mereka lebih matang sekarang.

Ujar Nora dia melihat kejujuran yang ada pada diri Fasha dan tidak pernah berasa kekok biarpun pernah berselisih faham dengan pelakon itu sebelum ini.

“Sewaktu berjumpa Fasha semula saya tidak pula merasa kekok. Saya nampak kejujurannya, kami tidak fake. Saya merasakan segalanya ada hikmah. Allah sebaik-baik perancang.

“Saya sayang antara satu sama lain dan mahu lupakan apa yang pernah berlaku dahulu kerana semua dah tak penting lagi. Anak kami merupakan adik beradik… Jejai (bekas suami) pun memang baik dengan kami berdua. Jadi, kami ini dah jadi keluarga,” tambahnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast