KUALA LUMPUR – Seorang lelaki yang bekerja sendiri didakwa di Mahkamah Sesyen Kota Bharu, Kelantan hari ini atas pertuduhan membuat keterangan palsu kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengenai aktiviti salah laku rasuah tahun lalu.
Tertuduh, Abdul Hakimy Zulkifli bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Dazuki Ali.
Mengikut pertuduhan, Abdul Hakimy telah membuat suatu penyataan kepada Ketua Penolong Kanan Penguasa, Azhar Seman di pejabat SPRM Kelantan pukul 12.55 tengah hari pada 3 September 2023.
Semasa percakapan dirakam, tertuduh mendakwa Datuk Tan Kim Keah telah meminta wang rasuah sebanyak RM1 juta atau RM2 juta untuk menarik repot polis Kota Bharu/0078/9/21.
Tertuduh mengatakan wang itu akan diberikan kepada empat individu termasuk pegawai dan anggota polis iaitu Amran Mohd Khalid, Mohd Syafiq Zulkifli, Wan Mohd Nasaruddin Wan Daud dan Mohammad Rohimi Rosian.
Semasa penyataan itu dibuat, tertuduh mengetahui ia palsu kerana sebenarnya Kim Keah tidak pernah meminta wang rasuah sebanyak RM1 juta atau RM2 juta.
Susulan itu, tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 27(1)(a) Akta SPRM 2009 dan boleh dihukum di bawah seksyen sama.
Prosiding itu dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Tengku Nurul Haziqah Tuan Yacob dan Mariah Omar.
Mahkamah telah menetapkan jaminan wang sebanyak RM15,000 dengan seorang penjamin.
Mahkamah juga menetapkan syarat tambahan termasuk passport diserahkan kepada mahkamah dan dilarang menganggu saksi pendakwaan.
Mahkamah juga menetapkan 24 Mac ini sebagai tarikh sebutan kes. – MalaysiaGazette