KUALA LUMPUR – Pengendali akaun Facebook bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mendoakan Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli kembali pulih seperti sedia kala.
Tambah beliau, ramai rakyat Malaysia yang menunggu Ahli Parlimen Pandan itu untuk membawa sinar harapan kepada mereka.
“Menteri Rafizi Ramli ok ke tu? Semoga sihat-sihat, diberi kekuatan dan kesihatan baik.
“Ramai tunggu Menteri kembali membawa sinar dan harapan kepada rakyat,” tulis Facebook Najib.
Najib berkata demikian mengulas kenyataan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mengesahkan Rafizi dimasukan ke hospital dan sedang dirawat di Hospital Sultan Abdul Aziz Shah (HSAAS), di sini.
Menerusi perkongsiannya di laman X, Anwar berkata, keadaan Rafizi bertambah baik, tanpa mendedahkan puncanya dirawat di hospital.
“Mendoakan saudara Rafizi diberikan afiyah sesegera mungkin, Insya-Allah,” tambahnya mendoakan kesihatan Rafizi yang juga Timbalan Presiden PKR.
Oktober tahun lalu, dilapor mengalami serangan jantung dan menerima rawatan di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM). – MalaysiaGazette