Dr. Dzulkefly Ahmad hadir pada Majlis Perasmian Mesyuarat Jawatankuasa Codex Mengenai Minyak dan Lemak (CCFO) Sesi Ke-28 hari ini.

KUALA LUMPUR – Sepanjang 10 tahun yang lalu jumlah pengeluaran minyak dan lemak dunia meningkat sebanyak 28 peratus.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, permintaan untuk minyak dan lemak dijangka terus meningkat memandangkan ia merupakan satu komoditi yang diperlukan dalam diet harian manusia.

“Purata penggunaan minyak per kapita juga meningkat secara progresif setiap tahun dalam sedekad iaitu daripada 27 kilogram (kg) pada 2013 kepada 31 kg, pada tahun 2023,” katanya ketika berucap di Majlis Perasmian Mesyuarat Jawatankuasa Codex Mengenai Minyak dan Lemak (CCFO) Sesi Ke-28.

Menurut beliau, pada tahun lalu jumlah pengeluaran minyak dan lemak adalah 252 juta tan.

“Daripada jumlah itu,  pengeluaran minyak sawit berjumlah 81 juta tan dan minyak kacang soya 59 juta tan. Kedua-dua minyak sayuran utama ini mewakili 56 peratus daripada pengeluaran keseluruhan minyak dan lemak dunia,” jelasnya.

Dzulkifly berkata, CCFO telah membangunkan standard untuk 30 minyak sayuran termasuklah minyak kelapa sawit, minyak ikan, lemak sapuan dan majerin, lemak haiwan serta satu kod amalan baik penyimpanan sekaligus pengangkutan lemak dan minyak secara pukal.

Menurut beliau, mesyuarat CFCO kali ini membincangkan penetapan standard bagi minyak avocado, minyak sacha inchi, minyak biji camellia, minyak soya tinggi oleik, minuak ikan Calanus.

Katanya lagi, pelbagai cabaran perlu ditangani jawatankuasa tersebut antaranya perubahan iklam, sistem makanan, pengeluaran di lokasi geografi baru dan kemajuan teknologi.   

“Selain itu, penetapan langkah-langkah bagi mengurangkan asid lemak trans atau lemak terhidrogen separa dalam makanan. CFCO perlu memenuhi permintaan hang semakin meningkat untuk menetapkan standard bagi menjaga ketulenan minyak,” tambah beliau.

Terdahulu, seramai 140 delegasi daripada 45 buah negara dan 11 organisasi pemerhati menyertai mesyuarat CFCO yang bermula hari ini sehingga Jumaat.- MalaysiaGazette