Dr. Mohd Shukor Mahfar menyempurnakan pelancaran Sambutan Hari Pengasasan ke-40 Universiti Utara Malaysia (UUM), baru-baru ini.

ALOR SETAR – Sambutan Hari Pengasasan Universiti Utara Malaysia (UUM) Ke-40 disambut meriah oleh warga kampus di Pusat Sukan universiti tersebut di Sintok, Kedah, baru-baru ini.

Naib Canselor UUM, Prof. Dr. Mohd Foad Sakdan berkata, Hari Pengasasan UUM disambut setiap 16 Februari setiap tahun, merupakan hari ulang tahun kelahiran UUM.

Menurutnya, pelancaran sambutan itu disempurnakan oleh Pengerusi Lembaga Pengarah UUM, Tan Sri Datuk Wira Dr. Mohd Shukor Mahfar.

“Tahun ini UUM sudah menjangkau 40 tahun dan usia ini dianggap matang bagi sesebuah universiti. Justeru, sambutan hari pengasasan ini diraikan dengan pelbagai aktiviti menarik,” katanya.

Antara aktivitinya ialah Majlis Penyerahan Watikah Pelantikan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) bagi sesi 2024/2025 serta Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara UUM dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP),” katanya demikian dalam majlis sambutan tersebut.

Tambah beliau, majlis bacaan Yasin dan solat hajat sempena Hari Pengasasan UUM juga  diadakan di Masjid Sultan Badlishah.

Katanya, UUM) merancang 40 program bagi memeriahkan sambutan sempena 40 tahun pengasasan universiti dan Tahun Melawat UUM sepanjang 2024.

Katanya, aktiviti tersebut bertujuan untuk menggalakkan pembudayaan ilmu melalui pelbagai program sukan.

Empat program utama sukan akan melibatkan hampir 20 penyertaan daripada pelbagai agensi.

UUM turut akan menjadi tuan rumah bagi Program Sukan Institusi Pengajian Tinggi (SUKIPT) yang dijangka disertai 10,000 atlet dan staf IPT.

“Tujuan saya menyebut perkara ini adalah supaya warga UUM dapat bersedia dan mempelajari cara-cara untuk meraikan kehadiran tetamu dengan baik,” ujarnya. – MalaysiaGazette