Tertuduh, Muhammad Safid Affandi Shamsudin dan Nor Salbiah Johari, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, atas pertuduhan menipu projek pembelian lembu tidak wujud dari Thailand menyebabkan mangsa kerugian hampir RM200,000 tahun lalu.

MELAKA – Sepasang suami isteri dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, hari ini, atas pertuduhan menipu projek pembelian lembu tidak wujud dari Thailand menyebabkan mangsa kerugian hampir RM200,000 tahun lalu.

Tertuduh, Muhammad Safid Affandi Shamsudin dan Nor Salbiah Johari, kedua-duanya berusia 33 tahun, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sebaik pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Azaraorni Abd Rahman.

Mengikut pertuduhan, pasangan itu didakwa memperdayakan Muhammad Safiy Khan Muzair Khan, 35, dengan menawarkan projek pembelian lembu dari Thailand tidak wujud.

Perbuatan itu telah mendorong mangsa menyerahkan wang secara berperingkat berjumlah RM185,137.50 melalui akaun Maybank atas nama Salbiah Farm milik Nor Salbiah yang mana dia tidak akan berbuat demikian sekiranya tidak diperdayakan.

Pertuduhan itu didakwa dilakukan di kedai Starbuck, dekat Malim Jaya, di sini, antara 28 hingga 29 Mei 2023 mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan dibacakan bersama Seksyen 34 akta sama.

Sabit kesalahan boleh dihukum penjara minimum setahun sehingga 10 tahun dan sebat serta denda.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Rashidah Baharom menawarkan jaminan RM90,000 bagi setiap tertuduh dengan seorang penjamin beserta syarat tambahan.

Tertuduh yang diwakili peguam Muhammad Denial Khairul Hizam bagaimanapun merayu jaminan rendah atas alasan Muhammad Safid Affandi hanya berniaga sendiri manakala isterinya seorang jururawat.

Anak guamnya turut menanggung dua anak berusia empat dan dua tahun serta abang orang kurang upaya dan ibu yang uzur berusia 70 tahun.

Selepas mendengar hujahan kedua-dua pihak, Hakim Azaraorni membenarkan tertuduh diikat jamin RM25,000 setiap seorang berserta syarat melaporkan diri di balai polis berhampiran sekali sebulan serta pasport diserah kepada mahkamah.

Kes akan disebut semula 20 Mac ini. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast