Mohd Uzir Mahidin.

KUALA LUMPUR – Sebanyak 73.1 peratus syarikat yang terlibat dalam filem dan drama tidak mengetahui mengenai keperluan mendapatkan lesen hiburan awam sebelum menggajikan pelakon kanak-kanak dan orang muda.

Manakala 52.9 peratus syarikat tidak pernah memohon lesen dan 47.1 peratus tidak pasti berkenaan dengan permohonan lesen ini.

Dapatan ini hasil kajian penggajian pelakon kanak-kanak dan orang muda dalam filem dan drama di Semenanjung Malaysia yang dijalankan dari 8 Februari 2023 hingga 31 Disember 2023 yang lalu.

Ketua Perangkaan Malaysia, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, sebanyak 361 syarikat yang menggajikan pelakon kanak-kanak dan orang muda dalam filem dan drama telah menjawab soalan bagi soal selidik ini.

Sementara itu, seramai 27 orang wakil daripada setiap kementerian / jabatan / agensi, ahli akademik, persatuan majikan, kesatuan sekerja, penerbit televisyen, syarikat produksi, pengarah dan penerbit filem dan bekas pelakon kanak-kanak yang pernah berlakon dalam filem dan drama telah menyertai perbincangan kumpulan berfokus dan sesi temuramah.

Ketua Perangkaan Malaysia, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, kajian ini ialah untuk menyediakan profil asas, mengenalpasti isu-isu dan mencadangkan rekomendasi yang bersesuaian kepada pihak yang terlibat dengan penggajian pelakon kanak-kanak dan orang muda dalam filem dan drama di Semenanjung Malaysia.

Bagi mengatasi isu ini maka 63.4 peratus syarikat bersetuju bahawa aktiviti pendidikan perburuhan perlu dipertingkatkan dalam memastikan pihak-pihak yang terlibat mempunyai kesedaran dan pengetahuan untuk mematuhi undang-undang perburuhan yang berkaitan.

Maklumat asas penggajian yang diperoleh menunjukkan bahawa tiga kumpulan umur tertinggi bagi penggajian pelakon kanak-kanak dan orang muda bagi filem atau drama di Semenanjung Malaysia adalah yang berumur di antara 15 tahun hingga 17 tahun 11 bulan (32.7%) diikuti dengan yang berumur 13 tahun 11 bulan hingga 14 tahun 11 bulan (32.4%), 5 tahun 11 bulan hingga 12 tahun 11 bulan (24.7%).

Dari segi penerimaan bayaran pula, didapati 83.7 peratus individu yang menerima pembayaran bagi pihak pelakon kanak-kanak dan orang muda merupakan ibu bapa atau penjaga.

Secara khususnya, ibu merupakan individu yang tertinggi menerima bayaran bagi pihak pelakon kanak-kanak dan orang muda ini iaitu sebanyak 50.4 peratus diikuti dengan bapa sebanyak 18.8 peratus dan penjaga sebanyak 14.4 peratus.

Dapatan juga menunjukkan bahawa 72.6 peratus syarikat tidak memberikan penyata bayaran gaji/upah kepada pelakon kanak-kanak dan orang muda yang digajikan.

Bukan itu sahaja, sebanyak 77.3 peratus syarikat menyatakan pembayaran dibuat adalah mengikut jumlah episod / babak yang dilakonkan / rakaman alih suara.

Seterusnya, waktu penggambaran dan rakaman oleh syarikat produksi menunjukkan 59.0 peratus melakukan penggambaran tidak menentu atau mengikut jadual yang telah ditetapkan.

Beliau juga memaklumkan simpanan dan pelaburan bagi memastikan jaminan hari tua pelakon kanak-kanak dan orang muda turut diambil kira.

Ia kerana, 97.8 peratus syarikat tidak melakukan caruman KWSP dan 59.3 peratus syarikat tidak merancang untuk melakukan caruman terhadap pelakon kanak-kanak dan orang muda pada masa hadapan.

Lima sebab utama syarikat tidak melakukan caruman adalah syarikat menyedari terdapat keperluan untuk mencarum kepada KWSP tetapi syarikat merasakan tiada keperluan untuk membuat caruman tersebut kerana umur pelakon yang masih kecil (46%).

Alasan lain yang diberikan ialah syarikat tidak dimaklumkan mengenai keperluan untuk mencarum KWSP (26.0%), syarikat tidak menyedari keperluan untuk mencarum kepada KWSP (8.6%), pelakon kanak-kanak dan orang muda tersebut merupakan pelakon sementara dan tidak tetap (8.3%) dan kekangan kewangan syarikat (4.2%). – MalaysiaGazette