Foto kredit : IPD Rembau

SEREMBAN – Seorang wanita Orang Asli yang hamil empat bulan maut selepas motosikal dinaikinya berlanggar dengan van klinik pergigian di Kilometer 37.8 Seremban-Tampin, Pekan Kota di sini petang tadi.

Ketua Polis Daerah Rembau DSP Hazri Mohamad berkata Nana Toni, 32, cedera parah di kepala manakala anak lelakinya, Norvinsaizul Norsaiful, 3, mengalami luka di kepala.

Beliau berkata motosikal itu ditunggang oleh adik lelaki mangsa berusia 28 tahun yang dipercayai cuai kerana mengubah laluan di simpang jalan sehingga mengakibatkan kenderaan dinaiki mereka berlanggar dengan van terbabit.

“Lelaki itu mengalami luka di bahagian tangan dan kaki… siasatan awal mendapati motosikal itu dalam perjalanan keluar dari arah simpang Klinik Kota menuju ke Pekan Kota dan ketika ia mengubah haluan dari kiri ke kanan jalan, kenderaan itu dilanggar oleh van yang bergerak terus dari arah Seremban menghala ke Tampin,” menurutnya dalam kenyataan di sini.

Hazri berkata Nana telah dibawa ke Hospital Rembau untuk rawatan lanjut namun disahkan meninggal dunia pada 4.30 petang dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast