Salah satu penumpang dan bot yang membawa bahan api ditahan Zon Maritim Tawau semalam.

KUALA LUMPUR – Zon Maritim Tawau berjaya menahan dua buah bot penumpang tempatan yang membawa muatan bahan api tanpa sebarang permit dalam dua tangkapan berasingan petang semalam.

Pengarahnya, Kepten Maritim Shahrizan bin Raman berkata, terdahulu bot ronda Maritim Malaysia yang menjalankan Op Tiris dan OP Pluto Timur telah berjaya mengesan sebuah bot penumpang dalam keadaan mencurigakan bergerak laju dari Perairan Tawau menuju ke Pulau Sebatik pukul 2.10 petang.

Pemeriksaan awal ke atas bot yang ditahan di kedudukan 1.7 batu nautika utara Tanjung Saima mendapati seorang warga tempatan berusia 25 tahun bertindak selaku juragan bot telah membawa muatan lima gelen bahan api yang disembunyikan di dalam bot itu.

Dalam pada itu, di lokasi berasingan, sebuah lagi bot penumpang telah ditahan oleh pasukan bot ronda Maritim Malaysia selepas menemukan empat gelen bahan api yang dibawa oleh seorang juragan lelaki warga tempatan berusia 32 tahun di kedudukan 0.7 batu nautika selatan Jeti CIQ,Tawau pada sekitar jam 2.30 petang hari yang sama.

Pemeriksaan dokumentasi ke atas kedua-dua bot terbabit mendapati juragan telah gagal mengemukakan sebarang permit serta lesen yang sah berkaitan barang kawalan yang dibawa.

Kedua-dua juragan, bot serta muatan ditahan sebelum dibawa ke Jeti Zon Maritim Tawau dan diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Malaysia untuk disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961.

Kesemua barangan termasuk bot kargo, enjin bot dan muatan barangan disita dengan nilai keseluruhan rampasan dianggarkan bernilai melebihi RM48,000.

Shahrizan menjelaskan, modus operandi yang digunakan oleh juragan adalah dengan membawa bahan api dalam kuantiti yang sedikit namun secara berulang kali. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast