Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berucap pada Persidangan Antarabangsa Ekonomi dan Kewangan Islam ke-15 di Sasana Kijang, Bank Negara Malaysia, Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 20 FEBRUARI 2024.

KUALA LUMPUR – Kerajaan akan tetap mempertahankan Peruntukan Perlembagaan termasuk Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan bagi membantu ekonomi golongan bumiputera, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Kita mempertahankan peruntukan Perlembagaan termasuk 153,”(Justeru) tak perlu bincang, dah ada dalam Perlembagaan,” katanya ditemui selepas merasmikan Persidangan Antarabangsa Ekonomi dan Kewangan Islam Ke-15 di sini, hari ini.

Beliau ditanya mengenai cadangan yang dikemukakan Hassan Abdul Karim mengenai isu sensitif berkaitan kedudukan istimewa masyarakat Melayu dan pribumi Sabah serta Sarawak yang perlu dikupas secara ilmiah dan berfakta dalam Kongres Ekonomi Bumiputera (KEB) 2024.

Ia bertujuan mengangkat prestasi ekonomi bumiputera yang dikatakan masih jauh tertinggal berbanding golongan bukan Bumiputera di negara ini.

Ahli Parlimen Pasir Gudang itu dalam kenyataannya semalam berkata, perbincangan juga perlu dibuat sama ada tindakan afirmatif termaktub dalam Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan bagi membantu ekonomi golongan bumiputera atau sebaliknya.

Menurut Hassan, KEB perlu merumuskan isu pembangunan ekonomi rakyat berasaskan pembahagian kelas kehidupan dan keperluan, berbanding berdasarkan kaum mahupun kategori Bumiputera atau bukan Bumiputera.

Beliau turut berharap, penganjuran KEB 2024 akan menghasilkan dasar keadilan ekonomi dan sosial untuk semua lapisan masyarakat tanpa mengira golongan Bumiputera atau bukan Bumiputera.

Perkara 153 ialah peruntukan mengenai jaminan kedudukan istimewa orang Melayu dan anak-anak negeri, iaitu pribumi Sabah dan Sarawak, juga kepentingan sah kaum lain berwarganegara Malaysia. – MalaysiaGazette