Danial Al-Rashid
Danial Al-Rashid.

KUALA LUMPUR – Cadangan menaikkan had umur persaraan wajib kepada 65 tahun terus mencetuskan reaksi pelbagai pihak, terutamanya dalam kalangan anak muda yang bimbang akan impaknya terhadap peluang pekerjaan generasi baharu.

Timbalan Ketua Pemuda Parti Amanah Negara (AMANAH) Nasional, Danial Al-Rashid berkata, langkah tersebut bukan sahaja akan menyempitkan ruang pekerjaan kepada golongan muda, malah boleh menjejaskan pertumbuhan tenaga kerja negara dalam jangka panjang.

“Langkah menaikkan umur persaraan hanya akan mengecilkan ruang pekerjaan untuk anak muda.

“Hari ini, ramai graduan masih belum mendapat pekerjaan tetap, dan ramai pula yang berpendapatan rendah walaupun sudah berada dalam pasaran kerja,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Danial, kerajaan seharusnya mengekalkan had persaraan sedia ada pada usia 60 tahun atau mempertimbangkan penurunan semula kepada 55 tahun seperti yang pernah dilaksanakan sebelum ini.

Beliau memetik data Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) yang menunjukkan lebih 60,000 graduan masih belum memperoleh pekerjaan tetap setakat tahun 2024.

Manakala laporan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) pula mendedahkan lebih 70 peratus pencarum baharu berusia bawah 30 tahun hanya menerima pendapatan bulanan di bawah RM3,000.

“Apabila pekerja sedia ada tidak bersara dan kekal dalam sistem terlalu lama, peluang untuk generasi muda masuk dan naik dalam kerjaya menjadi sangat terhad. Ini akhirnya melambatkan pertumbuhan tenaga kerja negara,” tambahnya.

Danial turut menekankan persaraan perlu dilihat sebagai satu fasa kehidupan yang perlu diisi dengan aktiviti yang lebih bermakna, dan bukan semata-mata terus bekerja demi kelangsungan hidup.

“Dengan jangka hayat rakyat Malaysia kini melebihi 75 tahun, adalah wajar untuk warga emas diberi ruang menikmati kehidupan persaraan yang tenang, terlibat dalam aktiviti komuniti, sukarelawan, atau menjaga keluarga,” ujarnya.

Beliau bagaimanapun mengakui bahawa masih terdapat warga emas yang aktif dan sihat selepas usia 60 tahun.

Namun Danial menegaskan faktor kesihatan dan kemampuan fizikal tidak boleh diabaikan terutama dalam sektor seperti pembinaan, pengangkutan, keselamatan dan barisan hadapan yang memerlukan ketahanan fizikal.

Sehubungan itu, Pemuda AMANAH menggesa kerajaan supaya tidak tergesa-gesa melaksanakan perubahan dasar tersebut.

Sebaliknya, melakukan kajian mendalam terhadap impak sosial dan ekonomi terhadap struktur tenaga kerja, pembangunan belia dan kesejahteraan pesara.

“Persaraan bukan soal tidak mampu bekerja, tetapi soal memberi laluan kepada generasi baharu untuk menyumbang, sambil memastikan warga emas dapat menikmati kehidupan yang lebih bermaruah,” tegasnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast