Zoo kedua terbesar negara, Zoo Melaka diserbu lebih 13,000 pengunjung hanya dalam tempoh dua jam dibuka yang menawarkan tiket masuk percuma hari ini.

MELAKA – Zoo kedua terbesar negara, Zoo Melaka diserbu lebih 13,000 pengunjung hanya dalam tempoh dua jam dibuka selepas menawarkan tiket masuk percuma hari ini.

Kemasukan percuma itu adalah sempena Tarikh Pengisytiharan Kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu yang pertama sekali gus merupakan cuti umum baharu bagi rakyat Melaka.

Setakat pukul 11.30 pagi tadi, sebanyak 13,157 pengunjung membanjiri Zoo Melaka sebaik sahaja mula dibuka pada pukul 9.30 pagi.

Orang ramai beratur untuk masuk ke Muzium Samudera

Tinjauan MalaysiaGazette mendapati, orang ramai mula beratur sejak jam 7.45 pagi untuk mengelakkan terpaksa beratur panjang.

Zoo Melaka adalah antara 10 lokasi pelancongan utama yang menawarkan tiket masuk percuma terbuka kepada seluruh rakyat Malaysia sempena cuti umum sehingga pukul 5 petang ini.

Lokasi lain adalah Melaka World Heritage Studios yang dahulunya dikenali Taman Mini Malaysia, Melaka Wonderland Theme Park, bot pelancongan, Melaka River Cruise (MRC) dan Menara Taming Sari (MTS).

Balai Cerap Kompleks Falak Al-Khawarizmi turut mendapat perhatian pengunjung.

Tidak terkecuali adalah semua 21 muzium-muzium di bawah Perbadanan Muzium Melaka (Perzim), Balai Cerap Kompleks Falak Al-Khawarizmi, lima kelab golf di Melaka dan Taman Laut Melaka.

Sementara itu setakat jam 11 pagi tadi, seramai 3,000 pelancong menaiki bot pelancongan itu dari tiga jeti utama, hampir 4,000 di empat muzim Perzim dan 1,200 pengunjung di MTS.

Kemuncak Sambutan Hari Ulang Tahun Pengisytiharan Tarikh Kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu ke-68 hari ini akan diadakan di depan Memorial Pengisytiharan Kemerdekaan di Banda Hilir.

Ia bakal menyaksikan perarakan mengimbau sejarah, persembahan teater muzikal “Malam Aneka Warna”, serta menyambut ketibaan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang buat julung kalinya akan membaca Watikah Kemerdekaan. – MalaysiaGazette