Kira-kira 1,000 penduduk Taman Melaka Perdana, Ayer Keroh hidup dalam keresahan sejak lebih 10 tahun lalu dengan kehadiran monyet liar di kawasan perumahan itu yang semakin tidak terkawal.

MELAKA – Kira-kira 1,000 penduduk Taman Melaka Perdana, Ayer Keroh hidup dalam keresahan sejak lebih 10 tahun lalu dengan kehadiran monyet liar di kawasan perumahan itu yang semakin tidak terkawal.

Lebih menakutkan, apabila apabila haiwan terbabit datang dalam kumpulan besar antara 10 hingga 15 ekor dan turut bertindak agresif merosakkan bumbung dan barangan dalam rumah penduduk.

Penduduk terpaksa mengikat tong sampah dengan tali bagi mengelakkan diselongkar monyet liar.

Seorang penduduk Mohd Akhtar Ab Karim, 46, berkata, masalah itu sudah berlarutan sejak mendiami perumahan itu yang dibuka lebih 10 tahun lalu sehingga dan semakin sukar dikawal hari ini.

“Bila dah terlalu lama, ia seolah-olah sudah ‘berkuasa’ di sini terutama pada waktu awal pagi dan petang dengan menyasarkan rumah penduduk untuk mencari makanan.

“Pantang sahaja nampak makanan dalam rumah, haiwan ini akan berusaha untuk masuk melalui bumbung kerana penduduk sudah memasang jeriji besi di tingkap dan ruang celahan bumbung,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Mohd Akhtar Ab Karim

Menurutnya, apa yang dikesalkan apabila masalah yang menghantui kira-kira 200 rumah penduduk berhampiran sudah berkali-kali diadukan kepada pihak berwajib, namun masih menemui jalan buntu.

“Sebelum ini Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) kata nak pasang perangkap monyet di sini, tapi sehingga ke hari ini hanya tinggal janji setelah lebih 10 tahun kami berdepan ancaman ini,” katanya.

Agata Tang

Suri rumah, Agata Tang, 65, berkata, dia pernah cuba diserang ketua kumpulan monyet liar itu ketika menghalaunya yang cuba memasuki rumah didiami bersama anak dan cucu yang masih kecil, selain merosakkan tanaman.

“Memang menakutkan apabila ia tidak lari sebaliknya bertindak agresif dengan menyergah ke arah saya dan cuba menerkam cucu yang masih kecil dan boleh merisikokan nyawa kami.

“Akibatnya, cucu tak boleh main di taman permainan malah semua tingkap akan ditutup sepanjang masa menyebabkan kami tidak dapat menghirup udara bersih di kawasan hijau ini,” katanya.

Syed Mustafa Jaafar

Penduduk, Syed Mustafa Jaafar, 69, berkata, serangan haiwan liar itu turut menimbulkan masalah kebersihan apabila sampah yang diletakkan dalam tong akan diselongkar monyet-monyet berkenaan untuk mencari makanan.

“Kami penduduk sampai terpaksa letakkan batu atau terpaksa ikat penutup tong sampah, namun tong pula akan diterbalikkan monyet yang marah apabila tidak dapat makanan.

“Bila dapat sahaja sisa makanan dari tong sampah, ia akan lari makan atas bumbung menyebabkan kekotoran sehingga mengundang haiwan perosak seperti tikus dan lalat yang boleh membawa penyakit lain,” katanya.

Hay Chin Ann

Hay Chin Ann, 60, berkata, dia terpaksa membelanjakan sehingga lebih RM12,000 menggantikan bumbung garaj kereta daripada jenis polikarbonat yang dirosakkan haiwan berkenaan kepada besi yang tahan lasak.

“Walaupun mahal, saya tiada pilihan kerana bumbung lama sudah bocor apabila haiwan itu sering melompat-lompat untuk mencari makanan,” – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast