Wan Rahmat Wan Hashim

KUANTAN – Salah seorang wakil dari Parti Amanah Negara (Amanah) bakal dilantik menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) lantikan bersama pimpinan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang.

Ketua Pemuda Amanah Pahang, Wan Rahmat Wan Hashim berkata, perkara tersebut diumumkan sendiri oleh Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail ketika sambutan jamuan Tahun baru Cina di Kuantan pada Ahad lalu.

Katanya, lantikan tersebut akan dilakukan pada masa terdekat merupakan pengukuhan kerajaan perpaduan negeri Pahang antara Barisan Nasional (BN) dengan Pakatan Harapan (PH).

”Pemuda Amanah Pahang menyambut baik pengumuman yang telah dibuat oleh Yang Amat Berhormat Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail bagi melantik ADUN khususnya dari Parti Amanah Pahang dalam masa yang terdekat.

”Pengumuman tersebut jelas menggambarkan kerjasama yang erat antara BN dan parti-parti komponen PH dalam mentadbir kerajaan negeri dengan lebih stabil serta mengukuhkan perpaduan kerajaan negeri selaras dengan persekutuan,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, Wan Rahmat berkata, Amanah Pahang pasti dapat memainkan peranan yang lebih penting dalam memberi perkhidmatan kepada rakyat serta menyumbang idea dan tenaga bagi pembangunan dan kemakmuran negeri ini melalui lantikan yang bakal dibuat.

Pemuda Amanah Pahang mengucapkan selamat maju jaya kepada ADUN yang bakal dilantik sekali gus dapat menjalankan tugas dengan penuh amanah dan berdedikasi demi kemakmuran dan kesejahteraan negeri.

”Pemuda Amanah Pahang akan terus bersama-sama membantu di lapangan bagi menzahirkan kesungguhan Amanah menggangkat isu-isu rakyat.

”Kami menyokong penuh kepimpinan Wan Rosdy  dalam mentadbir Kerajaan Negeri Pahang. Semoga kesejahteraan dan kemakmuran yang kita nikmati hari ini terus berkekalan demi keharmonian, kedamaian dan kestabilan semua,” katanya.

Sementara itu, Wan Rosdy ketika dihubungi MalaysiaGazette hari ini memaklumkan perkara berkaitan ADUN lantikan tersebut masih dalam peringkat perbincangan.

Pada 20 November 2020, DUN Pahang telah meluluskan meluluskan usul untuk meminda Undang-Undang Tubuh Kerajaan Pahang bagi melantik lima ADUN tanpa melalui proses pilihan raya.

Ia susulan Wan Rosdy mengusulkan pindaan terhadap Perkara 18 Bahagian Kedua undang-undang itu dibuat bagi membolehkan lantikan lima ADUN daripada golongan berkaliber bagi memberikan perkhidmatan lebih baik kepada rakyat.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast