Filem La Luna kini berada di carta 10 filem paling ditonton di platform Netflix

KUALA LUMPUR – Pendakwa bebas, Ustazah Asma’ Harun mendakwa penerbitan filem La Luna yang dilihat seolah-olah memperlekehkan agama Islam dan boleh mengundang persepsi buruk masyarakat.

Beliau berkata, ini kerana beberapa watak dan babak yang diterjemahkan dalam filem ini yang dilihat bertentangan dengan nilai dan adab Islam selain menyelitkan elemen soft porn.

“Buat semua penggiat seni tanah air, sama ada pengarah, penerbit, penulis skrip, pelakon dan lain-lain bebaslah berkarya dengan menjunjung tinggi nilai Islam dan kesopanan budaya tempatan.

“Jangan sampai agama sendiri diperlekehkan. Jika benar ada seni yang ingin disampaikan, pastikan ia digambarkan dalam bentuk yang positif dan penuh adab.

“Bukannya menzahirkan sisi yang boleh mengundang prasangka buruk dan fahaman yang mengelirukan,” katanya berkongsi pandangan peribadinya mengenai filem La Luna itu di laman Facebook hari ini.

Ustazah Asma’ Harun.

Antara perkara yang disentuh Asma’ ialah mengenai watak Tok Hassan yang digambarkan berperwatakan alim namun memiliki sikap bertentangan.

Selain itu, watak Hani yang membuka kedai pakaian dalam wanita di sebuah kampung dilihat kurang sesuai dengan adab budaya orang Melayu.

Dalam pada itu, Asma’ berpendapat pihak berwajib perlu memainkan peranan dengan meneliti sensitiviti sesuatu karya sebelum dibenarkan untuk tayangan umum.

Bukan sahaja di pawagam terbuka malah badan yang diberi tanggungjawab juga perlu menapis sebarang kandungan yang akan disiarkan di platform penstriman.

“Dalam isu ini, peranan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) dan Jabatan Kemajuan Islam (Jakim) wajib diperkukuhkan dalam memastikan penghasilan filem atau drama mengikut garis panduan yang telah ditetapkan.

“Begitu juga peranan bahagian penapisan filem dan drama haruslah diperluaskan ke filem yang dimuat naik ke penstriman video dalam talian,” ujarnya.

Filem La Luna adalah filem komedi diarahkan oleh pengarah, M Raihan Halim dan dibintangi barisan pelakon antaranya Shaheizy Sam, Sharifah Amani, Wan Hanafi Su, Hisyam Hamid, Nadiya Nisaa, Nam Ron dan ramai lagi.

Filem itu kini berada di carta 10 filem paling ditonton di platform Netflix. – MalaysiaGazette