PUTRAJAYA – Mesyuarat Jemaah Menteri tidak membincangkan prestasi ringgit hari ini berikutan kejatuhan nilainya berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada paras terendah dalam tempoh 26 tahun semalam.
Namun Menteri Komunikasi, Fami Fadzil berkata, Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan telah mengambil maklum dan meneliti pandangan penganalisis ekonomi berkaitan kejatuhan nilai ringgit itu.
“Hari ini tidak ada bincang (ringgit) tetapi Menteri Kewangan II, Gabenor Bank Negara ada meneliti perkara ini berdasarkan kenyataan daripada Gabenor, ramai penganalis mengunjurkan nilai ringgit akan akan menambah pada tahun ini atas beberapa faktor yang disebut Gabenor dan Menteri Kewangan II.
“Dan ada dalam kawalan kita seperti eksport yang boleh kita percepat proses dalamannya dalam negara di samping juga mempercepatkan proses perniagaan yang boleh pelaburan yang diluluskan untuk mula digerakkan,” katanya pada sidang media hari ini.
Semalam, nilai ringgit terus mencatat penurunan ketara apabila mencecah paras 4.795 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) paras terendah
Jika disingkap semula, mata wang negara mencapai paras terendah dalam sejarah iaitu 4.88 pada Januari 1998 iaitu ketika kemuncak Krisis Kewangan Asia.
Paras terbaharu hari ini juga mengatasi paras terendah harian yang dicatat pada 23 Oktober 2023 lalu iaitu 4.7925.
Mengulas lanjut, Fahmi menegaskan, cadangan menaikkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) bagi memperkukuhkan nilai ringgit ketika ini hanya akan memberi kesan langsung kepada rakyat.
Beliau berkata, ia tidak akan membantu rakyat pada waktu ini malah diakui oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Saya ambil maklum ada sesetengah pihak beri komen, saya tak pasti sama ada pihak tertentu ini mahu Bank Negara Malaysia (BNM) menaikkan OPR kerana saya jangka itu bukan satu perkara yang akan membantu rakyat pada waktu ini.
“Perdana Menteri juga sudah menyatakan perkiraannya (sebelum ini) sekiranya OPR dinaikkan, kadar faedah lebih tinggi tapi kesannya (adalah) kepada rakyat,” katanya. – MalaysiaGazette