Bangunan Wisma Putra Kementerian Luar Negeri di Putrajaya.

KUALA LUMPUR – Malaysia berpandangan satu-satunya jalan penyelesaian terbaik terhadap konflik di Gaza ialah dengan melaksanakan “Penyelesaian Dua Negara” berdasarkan garis sempadan pra-1967 dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu negara Palestin

Pandangan itu dibuat selepas Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sekali lagi gagal menangani situasi genting yang sedang berlaku di Semenanjung Gaza dengan kadar segera.

“Mengambil kira keadaan di Gaza yang semakin meruncing terutamanya ekoran serangan besar-besaran oleh Israel di Rafah, jalan penyelesaian yang berkesan untuk menangani krisis ini ialah untuk Majlis Keselamatan PBB melaksanakan gencatan kemanusiaan dengan serta merta,” menurut Kementerian Luar Negeri dalam kenyataan hari ini.

Tambah Wisma Putra, Malaysia kesal dengan perkembangan terkini itu.

Ia berlaku apabila resolusi tersebut telah digagalkan dengan penggunaan kuasa veto, sekali gus melumpuhkan lagi usaha masyarakat antarabangsa menangani malapetaka kemanusiaan di Palestin.

Kementerian Luar Negeri berkata, Majlis Keselamatan PBB hampir mencapai sokongan sebulat suara ke atas resolusi yang diusulkan oleh Algeria, menggesa gencatan kemanusiaan dikuatkuasakan dengan serta-merta dan penyaluran bantuan kemanusiaan kepada rakyat Palestin dapat dilaksanakan tanpa sebarang sekatan.

Namun resolusi tersebut telah digagalkan dengan penggunaan kuasa veto, sekali gus melumpuhkan lagi usaha masyarakat antarabangsa menangani malapetaka kemanusiaan di Palestin.

Malaysia turut mengulangi gesaannya supaya Negara Palestin diiktiraf sebagai anggota penuh PBB.

Resolusi itu gagal apabila Amerika Syarikat (AS) telah memveto satu lagi draf resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengenai perang Israel ke atas Gaza, menghalang permintaan untuk gencatan senjata segera antara Israel dan Hamas.

Sebaliknya AS telah mencadangkan draf resolusi saingan yang menggesa gencatan senjata sementara dan menentang serangan darat besar oleh Israel di Rafah.

Negara-negara Arab yang diketuai oleh Algeria, meletakkan draf resolusi itu untuk undian pada hari Selasa dengan jangkaan ia tidak akan lulus selepas AS – sekutu utama Israel – memberi amaran tidak akan menyokong teks itu dan sebaliknya mencadangkan draf saingan.

AS adalah satu-satunya negara yang mengundi menentang draf teks manakala United Kingdom berkecuali. 13 negara anggota Majlis Keselamatan PBB yang lain mengundi menyokong teks yang menuntut dihentikan perang yang telah membunuh lebih 29,000 orang di Gaza. – MalaysiaGazette