Hassan Abdul Karim

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Karim menggesa agar Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menggunakan platform Dewan Rakyat yang akan bersidang tidak lama lagi bagi menjelaskan kemerosotan nilai ringgit.

Hassan mendakwa rakyat kini cemas dengan kedudukan mata wang negara.

“Pertamanya, mengapa kedudukan ringgit begitu lemah sekarang ini berbanding Dolar Amerika Syarikat (AS) dan Singapura.

“Keduanya dan ini yang terpenting iaitu apakah tindakan segera kerajaan untuk mengatasi kejatuhan ringgit dan menyelamatkan ekonomi negara,” katanya di Facebook.

Hassan yang juga wakil rakyat kerajaan berkata, gesaan itu bukan untuk memberikan imej buruk kepada Anwar malah amat penting untuk rakyat jelas mengenai kemerosotan mata wang tersebut.

“Parlimen yang bermula sidangnya minggu depan adalah tempat yang sesuai bagi Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan mengambil tanggungjawab dan memberi penjelasan rasmi kerajaan,” katanya lagi.

Semalam, media melaporkan Anwar menjelaskan soalan mengenai prestasi ringgit akan dijawab oleh Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM).

“(Mengenai) ringgit, gabenor (Datuk Shaik Abdul Rasheed Abdul Ghaffour) ada di sini,” katanya ringkas ketika menjawab pertanyaan media.

Mata wang tempatan terus merekodkan prestasi lemah berbanding dolar AS setakat ini.

Pada 9 pagi, ringgit menyusut kepada 4.7995/8050 berbanding dolar AS daripada 4.7975/8000 semasa ditutup pada Selasa. – MalaysiaGazette