Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar bercakap selepas merasmikan Serahan Program Afiat Tabung Haji di Pusat Audiometrik Bergerak (Mobile Hearing) 2024 di Rumah Pengasih Warga Prihatin (RPWP) Kajang, Selangor. Foto SYADILA AMARI, 22 FEBRUARI 2024.

BANGI – Gerakan seorang mudir madrasah di Selangor yang dikatakan aktif mempromosikan Mawla Amin telah dikesan sejak empat bulan lalu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata, pada mulanya tidak ada sebarang kemusykilan terhadap gerakan individu yang mendakwa sebagai warganegara Maghribi itu.

Bagaimanapun, gerakan individu berkenaan mula dicurigai sejak akhir-akhir ini kerana  terdapat kelainan.

“Sebab itulah kebimbangan mula timbul…kita harapkan agar masyarakat Islam khususnya,  tidak terjerumus kalau ajaran ini benar-benar menyeleweng daripada ajaran Islam.

“Kita harap sangat agar masyarakat rujuk terus kepada Jabatan Mufti untuk mendapatkan status ajaran tersebut,” katanya kepada media selepas merasmikan Pusat Audiomterik Bergerak, Tabung Haji dan Yayasan Pelangi Malaysia (YAPEL) di sini, hari ini.

Beliau ditanya media mengenai perkembangan terkini pemantauan yang dilakukan pihak berkuasa agama terhadap individu terbabit.

Lelaki itu didakwa mengutip dana awam secara tidak sah, selain cuba mewujudkan penempatan Kerajaan 9 di Melaka sebagai persiapan akhir zaman kepada pengikutnya.

Terdahulu Mohd Na’im menerusi kenyataan berkata, pihaknya tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang cuba mengeksploitasi agama untuk kepentingan diri mahupun kumpulan tertentu.

Beliau turut mengingatkan orang ramai supaya menjauhkan diri daripada sikap taksub terhadap individu yang mendakwa berada dalam jalur keturunan Nabi Muhammad SAW.

Dalam pada itu, Mohd Na’im berkata, pihaknya belum mengetahui jumlah sebenar pengikut ajaran yang dibawa oleh lelaki berkenaan.

Artikel berkaitan: RAM tiada hubungan dengan Mawla Mohamed Amin

Namun, kerjasama rapat dengan pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dilakukan untuk memantau pergerakan individu terbabit.

“Saya belum lagi dapat jumlah yang sebenar (pengikut), selain pihak polis, JAKIM juga bekerjasama dengan pihak agama Islam negeri-negeri untuk mengenal pasti mereka yang terlibat,”ujarnya.

Semalam, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dilaporkan berkata, polis akan bekerjasama dengan pihak agama negeri bagi memantau kegiatan ‘Mawla Amin’.

Saifuddin dipetik berkata, polis akan memantau dari aspek ketenteraman awam membabitkan individu berkenaan dan pengikutnya.

Beliau turut mengesahkan individu berkenaan sering keluar masuk Malaysia dengan menggunakan pas lawatan sosial, dan berada di negara ini selama 90 hari. – MalaysiaGazette

Polis sedia kerjasama pihak berkuasa agama siasat Mawla Muhammad Amin