Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar bersama lori sumbangan Tabung Haji ketika Majlis Serahan Program Afiat Tabung Haji di Pusat Audiometrik Bergerak (Mobile Hearing) 2024 di Rumah Pengasih Warga Prihatin (RPWP) Kajang, Selangor. FOT SYADILA AMARI, 22 FEBRUARI 2024.

BANGI – Jabatan Pendakwaan Syarie Malaysia (JPSM) ditubuhkan untuk membantu menyelaraskan jabatan pendakwaan syarie yang berada di setiap negeri.

Bagaimanapun, setiap keputusan yang dibuat oleh JPSM tetap perlu dibawa ke Majlis Kebangsaan Hal Ehwal Islam (MKI) serta Majlis Raja-Raja Melayu untuk mendapat perkenan dan persetujuan, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Mohd Na’im Mokhtar.

Beliau berkata, setakat ini tiada jabatan daripada Persekutuan menyelaraskan beberapa perkara dan hanya Jabatan Kehakiman Syariah yang melakukan amalan pentadbiran di Mahkamah Syariah seluruh negara.

“Dalam konteks jenayah, kita ada Jabatan Pendakwaan Syarie, ada Ketua Pendakwa Syarie atau Ketua Pengarah Jabatan Pendakwaan Syarie di setiap negeri.

“Cuma yang belum ada adalah satu jabatan di peringkat Persekutuan yang boleh menyelaraskan pelaksanaan pendakwaan syarie di peringkat negeri.

“Tetapi apa sahaja keputusan perlu mendapatkan perkenan dan persetujuan daripada MKI, kemudiannya mendapat perkenan Majlis Raja-Raja.

“Sebab apa sahaja yang membabitkan Islam termasuklah pendakwaan syarie kuasanya itu berada di negeri, dan kuasa Persekutuan adalah untuk menyelaras pentadbiran berkenaan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas merasmikan Pusat Audiometrik Bergerak yang disumbangkan oleh Tabung Haji (TH) dengan kerjasama Yayasan Pelangi Malaysia (YAPEL), di sini, hari ini.

Sebelum ini, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dr Zulkifli Hasan, berkata, proses penubuhan JPSM kini dalam peringkat perbincangan.

Zulkifli berkata, kerajaan komited melaksanakan pemerkasaan perundangan syariah secara sistematik dan teratur termasuk menerusi Rang Undang-Undang (RUU) Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 (RUU 355).

“Bukan sahaja RUU 355, kita akan bawa RUU lain seperti RUU mufti, pindaan Akta Pentadbiran Undang-Undang Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1993 (Akta 505) dan ada beberapa lagi. Kita bergerak secara menyeluruh bukan sahaja aspek RUU 355,” katanya seperti dilaporkan.

Sementara itu, mengenai Pusat Audiometrik Bergerak yang dilancarkan hari ini, Mohd Na’im berkata, TH menyumbangkan sebanyak RM1juta bagi membolehkan program itu dilaksanakan.

Katanya, Pusat Audiometrik Bergerak itu diadakan di sebuah lori tiga tan yang lengkap dengan dua unit bilik kedap bunyi, peranti saringan pendengaran seperti audiometer, alat bantu pendengaran serta khidmat kaunseling.

Mohd Na’im menjelaskan, sebanyak 120 unit alat bantuan pendengaran akan diberikan kepada golongan asnaf terpilih.

“Manakala, Pusat Audiometrik Bergerak mensasarkan seramai 6,000 orang disaring setiap tahun atau 500 orang setiap bulan,” ujarnya. – MalaysiaGazette