Wan Salim.

GEORGE TOWN – Kuasa dan fungsi Ketua Pendakwa Syarie negeri seperti termaktub dalam Enakmen Hal Ehwal Agama Islam Negeri tidak akan berubah dengan penubuhan Jabatan Pendakwaan Syarie Peringkat Persekutuan (JPSM).

Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Wan Salim Wan Mohd Noor berkata, penubuhan itu dilihat satu perkembangan positif terutama bagi memisahkan peranan dan tugas pihak penguatkuasa dengan pihak pendakwaan.

“Penubuhan JPSM dapat menamatkan pertindihan kuasa antara Jabatan Agama Islam dan mahkamah syariah.

“Sepatutnya jabatan berkenaan sudah lama ditubuhkan bagi memudahkan serta melancarkan pengurusan kes yang dikemukakan masyarakat Islam supaya diselesaikan Mahkamah Syariah,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Media semalam melaporkan kerajaan akan menubuhkan Jabatan Pendakwaan Syarie Malaysia (JPSM) dalam usaha memperkukuh ekosistem perundangan syariah di negara ini.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dr Zulkifli Hasan berkata, proses penubuhan JPSM kini dalam peringkat perbincangan.

Katanya, kerajaan komited melaksanakan pemerkasaan perundangan syariah secara sistematik dan teratur termasuk menerusi Rang Undang-Undang (RUU) Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 (RUU 355). – MalaysiaGazette