Aznan mengadakan lawatan ke SK Perigi Acheh pada lewat petang semalam.

PASIR GUDANG – Sebuah sekolah rendah sementara akan dibina berhampiran Sekolah Kebangsaan (SK) Perigi Acheh di Kampung Perigi Acheh selepas Jabatan Kerja Raya (JKR) mengesahkan struktur bangunan lama dan tanah di sekolah itu tidak lagi selamat.

Kawasan itu disahkan tidak selamat dan sebelum ditutup pada 30 Julai 2021 lagi dan sejak itu murid-muridnya terpaksa menumpang di SK Tanjung Langsat.

Exco Pendidikan dan Penerangan negeri, Aznan Tamin berkata, pembinaan sekolah sementara yang akan bermula pada Jun ini  menelan belanja RM6 juta.

“Pembinaan itu kita jadualkan siap serta dapat beroperasi pada awal tahun 2025. Perancangan asal pihak JKR mencadangkan menggunakan kontena sebagai platform untuk bangunan sementara tetapi melihatkan kesulitan dalam pengangkutan barang logistik, mereka membuat keputusan agar pembinaan bangunan sementara ini menggunakan skeleton frame dan cement board.

“Saya difahamkan sekolah itu nanti boleh bertahan dan digunakan antara tujuh sehingga sembilan tahun,” katanya kepada media selepas mengadakan lawatan ke SK Perigi Acheh pada lewat petang semalam.

Turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tiram, Azizul Bachok dan Pengarah Pendidikan Negeri Johor, Mohd Hanafi Samad.

Sebelum ini media dilaporkan mengenai ibu bapa kepada murid di sekolah berkenaan melahirkan tada tidak puas hati selain mendesak pihak berkaitan supaya segera menaik taraf atau membina sekolah yang baharu selepas dua tahun SK Perigi Acheh dikosongkan.

Dalam masa sama, jelas Aznan, Jabatan Pendidikan Negeri Johor sedang memohon dengan Kementerian Pendidikan pembinaan sekolah baharu di tapak asal SK Perigi Acheh.

Semua bangunan dan struktur asal SK Perigi Acheh akan dirobohkan dan struktur tanahnya akan dinaiki sebelum memberi laluan pembinaan sekolah baharu dengan enam kelas yang dilengkapi pelbagai kemudahan.

“Kita (kerajaan negeri)  akan memastikan permohonan pembinaan bangunan baharu untuk jangka masa panjang itu akan dimasukkan dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12).

“Buat masa ini saya diberitahu  seramai 95 murid dan 12 guru SK Perigi Acheh masih ditempatkan di SK Tanjung Langsat iaitu kira-kira lima kilometer dari kampung tersebut,” katanya.

Selain itu, kerajaan negeri bersetuju memperuntukkan RM50,000 bagi menyediakan bas sekolah kepada murid terlibat untuj ke SK Tanjung Langsat bagi sesi persekolahan tahun ini yang bermula Mac ini.- MalaysiaGazette