KUALA LUMPUR – Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dan Yayasan Waqaf Malaysia (YWM) memeterai Memorandum Perjanjian (MoA) bagi menubuhkan wakaf pendidikan sebagai salah satu inisiatif bagi mempelbagaikan sumber dana PTPTN untuk tujuan pembiayaan pendidikan tinggi.
Melalui MOA yang dimeterai ini, PTPTN dan YWM komited untuk bekerjasama dalam pelaksanaan wakaf pendidikan melalui Kerjasama Wakaf Tunai Pendidikan PTPTN-YWM,
Skop dan objektif kerjasama ini bagi mempelbagaikan sumber dana untuk pembiayaan pendidikan tinggi selain menerusi pemberian pinjaman pendidikan PTPTN sedia ada; menjadikan dana wakaf sebagai instrumen pengagihan semula kekayaan bagi
pembangunan pendidikan negara dalam kalangan mahasiswa melalui alternatif bantuan pendidikan berbentuk biasiswa iaitu Wakaf Tunai PTPTN.
Selain itu mengurangkan kebergantungan masyarakat kepada pinjaman pendidikan, seterusnya mengurangkan bebanan bayaran balik pinjaman/ keberhutangan oleh mahasiswa.
Memorandum Perjanjian (MoA) ini telah dimeterai oleh Ahmad Dasuki Abdul Majid, Ketua Eksekutif PTPTN dan Dr. Ridzwan Bakar, Ketua Pegawai Eksekutif YWM dengan disaksikan oleh Pengerusi PTPTN, Datuk Norliza Abdul Rahim.
Menurut Norliza, PTPTN berharap inisiatif wakaf pendidikan ini akan mendapat sambutan yang menggalakkan daripada syarikat-syarikat korporat, institusi-institusi kewangan, agensi kerajaan dan swasta serta para pelanggan untuk melaksanakan amal kebajikan melalui wakaf pendidikan.
“Saya yakin wakaf pendidikan ini akan dapat meningkatkan motivasi mahasiswa untuk meneruskan pengajian ke peringkat lebih tinggi sekali gus menjana kepada pembangunan modal insan negara. Paling penting, usaha ini juga dapat mengurangkan kebergantungan PTPTN kepada kerajaan sebagai sumber dana pembiayaan untuk jangka masa panjang,” ujarnya. – MalaysiaGazette