Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abd Kadir melawat tapak pameran selepas majlis penutup International Conference on Islamic Economics and Finance 2024 (ICIEF 2024) di Sasana Kijang, Bank Negara, Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 22 FEBRUARI 2024.

KUALA LUMPUR – Universiti Tsukuba dari Jepun yang membuka cawangannya yang pertama di luar negara akan memulakan programnya di negara bermula tahun ini.

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata, sebagai permulaan, cawangan pertama universiti dari Jepun itu akan memulakan operasinya di kampus Universiti Malaya (UM).

“Sebagai tanda penghormatan dan persahabatan dengan negara yang begitu rapat sekali iaitu Malaysia, kerajaan Jepun telah membuat keputusan untuk membuka cawangan Universiti Tsukuba di Malaysia.

“Buat masa ini, Tsukuba akan mula beroperasi di kampus UM sebelum mereka mempunyai kampus mereka sendiri. Mereka akan ada satu bangunan di mana memperkenalkan pengajian mereka di sana nanti.

“Alhamdulillah setakat ini Tsukuba telah pun dengan jelas akan memulakan program mereka pada tahun ini,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Terdahulu Zambry merasmikan Majlis Penutupan Persidangan Antarabangsa Ekonomi dan Kewangan Islam (ICIEF) di Sasana Kijang, Bank Negara Malaysia.

Sebelum ini, media melaporkan Universiti Tsukuba dari Jepun bakal membuka cawangannya di Malaysia iaitu kampus cawangan mereka pertama di luar negara.

Ia susulan memorandum kerjasama (MoC) yang ditandatangani kedua-dua negara pada 14 Mac 2023.

MoC bagi pembentukan kampus cawangan itu ditandatangani antara KPT bersama Kementerian Pendidikan, Budaya, Sukan, Sains dan Teknologi Jepun dan Kementerian Luar Jepun.

Zambry juga berkata, selain Universiti Tsukuba, sebuah lagi pusat pengajian tinggi dari Jepun akan mengikut jejak langkah iaitu Universiti Waseda.

“Sepertimana yang kita sedia maklum, tokoh besar kita yang pernah lahir daripada Waseda seperti Prof Diraja Ungku Aziz yang saya juga mengadakan perbincangan dengan mereka.

“Mereka juga sedang membuat penilaian untuk sebagai tanda penghormatan kepada Malaysia.

“Universiti seperti ini mereka tidak mempunyai cawangan di luar Jepun, tapi sebagai tanda persahabatan, mereka memberikan tumpuan khusus kepada negara kita,” katanya lagi. – MalaysiaGazette