KUALA LUMPUR – Walaupun masih lagi berdepan dengan lapan pertuduhan rasuah bernilai RM1.77 juta namun Mohd Saifullah Mohd Minggu rasa bersyukur.
Tertuduh yang juga bekas setiausaha sulit kanan kepada bekas Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya rasa bersyukur kerana Hakim Mahkamah Sesyen, Suzana Hussin hari ini telah melepas dan membebaskannya daripada 11 pertuduhan meminta dan menerima suatu suapan berjumlah RM820,530 berhubung tender yang sama.
Beliau ditemui wakil media di luar bilik prosiding Mahkamah Sesyen di sini hari ini.
Turut dilepas dan dibebaskan ialah tunang tertuduh yang merupakan Orang Kena Tuduh (OKT) kedua, Nurfadziana Abdul Kadir, 30, daripada tuduhan bersubahat dengannya menerima suapan RM232,000, selepas memutuskan pendakwaan gagal mewujudkan kes prima facie.
Namun Suzana telah memerintahkan Mohd Saifullah untuk membela diri terhadap lapan tuduhan terhadapnya selepas pendakwaan berjaya mewujudkan kes prima facie terhadap pertuduhan tersebut hari ini.
Ketika prosiding hari ini, peguam mewakili Mohd Saifullah, Haijan Omar berkata, anak guamnya akan membela diri secara bersumpah dari kandang saksi dan boleh disoal balik.
Pihaknya juga akan menyediakan sekurang-kurangnya tiga saksi termasuk tertuduh.
Mohd Saifullah didakwa menerima suapan berjumlah RM1,765,000 daripada pemilik syarikat Inter Bev Network Sdn Bhd, Ronald Seto Kong Seng melalui Roslan Lahada sebagai dorongan mendapatkan tender kempen pengiklanan Tourism Malaysia kepada syarikat itu.
Kesemua kesalahan itu dilakukan di beberapa lokasi termasuk di Red Box Karaoke dan Coffee Bean di pusat beli belah Pavillion, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di pejabat setiausaha sulit kanan kepada menteri di Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya.
Juga di Vipod Residences di premis di Temasya Anggun, Glenmarie, Selangor, Kota Damansara dan di Petronas Dengkil antara 11 pagi hingga 11.30 malam pada 21 Disember 2018 hingga 1 Mac 2019.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 16 (a) (B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 manakala Nurfadziana dituduh mengikut Seksyen 28 (1) dan kedua-dua mereka boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta sama.
Jika sabit kesalahan, tertuduh berdepan hukuman penjara 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan.
Prosiding bela diri akan bermula pada 17 April ini.
Ketika keputusan dibacakan, tunang Mohd Saifullah kelihatan beremosi dan ditenangkan tertuduh.
Mohd Saifullah selepas prosiding juga keluar dan menunjukkan tanda ‘kemenangan’ serta berkata sedikit lagi untuk berjuang bagi mendapatkan keadilan bagi dirinya.
“Sudah empat tahun, sedikit sahaja lagi,” ujarnya sambil tersenyum. – MalaysiaGazette